Farikh Selangor TOT ke Selangor MAC

Ada Apa Antara Selangor MAC Dengan Farikh?

Selangor MAC antara yang terawal membentuk skuad untuk saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2024 apabila mengumumkan penyertaan empat muka baharu iaitu Imran Shamsudin, Helmi Imran, Firdaus Zulkefli dan bekas pemain negara, Farikh Khabibor Rahman.

Paling mencuri tumpuan ramai ketika ini tentunya penyertaan Farikh yang diketahui berpengalaman luas di pentas futsal tanah air.

Bermula kariernya di Perak pada 2016, beliau membina karier awalnya bersama beberapa nama besar futsal di negeri Darul Ridzuan seperti Awalludin Mat Nawi, Zakry Asraf, Syadil Sainordin dan beberapa lagi pemain lain. Selepas itu, beliau tidak lagi memandang ke belakang sehingga pada musim lalu mewakili sebuah lagi pasukan yang juga semifinalis MPFL selain Selangor MAC, Selangor TOT.

Sebelum terbang ke Lembah Klang untuk menyertai Selangor TOT pada musim lalu, beliau telah menyertai Pahang Rangers untuk dua musim iaitu pada 2021 dan 2022. Di sana beliau membantu pasukan tersebut muncul naib juara MPFL pada edisi 2022.

Beliau pernah mewakili skuad negara dalam dua edisi Piala AFF iaitu ketika mereka masih dibawah bimbingan Chiew Chun Yong.

Farikh dikenali dengan aksi agresif dan kentalnya sebagai Fixo. Beliau juga seorang pemain yang lasak, berdisiplin dan berstamina tinggi.

Semua yang disenaraikan di atas tentang Farikh adalah satu tambah nilai terbaik buat Selangor MAC untuk saingan musim depan dalam usaha mencabar semula kejuaraan mereka yang dirampas oleh Pahang Rangers – juara edisi lalu, menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berusia 26 tahun, Farikh sememangnya masih relevan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dan mungkin penyertaannya bersama Selangor MAC mampu melonjak semula namanya ke dalam senarai utama panggilan pengendali baharu, Rakphol Sainetngam.

Seperti yang kita tahu, namanya berada dalam senarai bersedia sebelum ini, ketika latihan pusat persediaan ke Piala Asia Futsal 2024.

Selain Farikh, penyertaan Goleiro Selangor TOT, Helmi juga dilihat untuk menambah pilihan dan kekuatan sedia ada pasukan yang sudah memiliki Syawal Sabaruddin dan Syaifuddin Syukri di benteng terakhir pasukan. Kemasukkan Imran dijangka mengukuhkan posisi Ala.

Firdaus pula pemain yang berpengalaman beraksi di luar negara di Liga Futsal Thailand bersama National Telecom sebelum kembali ke Malaysia menyertai Pulau Pinang untuk edisi lalu. Beliau adalah pemain Malaysia pertama yang berpeluang bermain di bumi Thailand.

Dalam pada itu, mereka juga dikhabarkan akan membawa masuk seorang lagi pemain import selepas hanya mengekalkan Ceara. Dikatakan pemain itu adalah pemain import sedia ada di saingan MPFL dan bermain bersama pasukan lain pada musim lalu. Sama-sama kita nantikan!

Start a Conversation