Terbaru

Datuk Seri Rosmadi & Datuk Mohd Hisamudin, Bawa Aspirasi Futsal Ke FAM

Selamat berjuang kami ucapkan kepada dua wakil pencalonan bagi Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negara untuk baki penggal 2025 hingga 2029 yang dijadualkan berlangsung pada 17 September ini.

Dua nama yang membawa suara futsal ialah Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang sebelum ini menerajui Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.

Datuk Seri Rosmadi Ismail bakal merebut jawatan Naib Presiden 1 dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan futsal dan bola sepak pantai, termasuk sebagai Timbalan Pengerusi pada 2010 hingga 2014 dan Pengerusi dari 2017 hingga 2026.

Di bawah kepimpinan beliau, futsal Malaysia antara lain mencatat pencapaian di pentas Sukan SEA termasuk pingat gangsa wanita di Naypyidaw, Myanmar, pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan pingat gangsa pada Sukan SEA Bangkok 2025. Serta penjenamaan serta penambahbaikkan Liga Futsal Kebangsaan kepada Malaysia Premier Futsal League adalah sewaktu ‘jagaan’ beliau.

Dalam pencalonan kali ini, Datuk Seri Rosmadi berkata beliau mahu membantu kepimpinan FAM dalam usaha memperkasakan pengurusan FAM serta pasukan kebangsaan, selain terus membawa pengalaman yang dimiliki untuk membantu pembangunan bola sepak negara.

โ€”โ€”

Sementara itu, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya merupakan Timbalan Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM dari 2021 hingga 2026. Antara pengalaman beliau termasuk sebagai Pengurus pasukan Malaysia Bawah 19 yang mencatat tempat ketiga pada edisi pertama Kejohanan AFF Bawah 19, selain pernah dilantik sebagai Penolong Pengurus pasukan negara pada Sukan SEA Hanoi 2021.

Kini, Datuk Hisamudin Yahaya bakal bertanding bagi merebut kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM. Seperti yang dipetik BH Online, beliau menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan sekiranya diberi peluang sekali lagi, khususnya dalam memastikan futsal Malaysia kembali mendapat perhatian dan berada pada kedudukan yang lebih baik.

Bagi kami, pengalaman, pengetahuan dan suara daripada mereka yang memahami perjalanan futsal dari dekat amat penting dalam menentukan hala tuju futsal Malaysia. Selamat berjuang Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya. Semoga suara futsal terus diberi tempat dalam pentadbiran bola sepak Malaysia.