1. Tahun kedua Nilai City FC bertanding dalam MPFL Divisyen 2, apakah perubahan atau perkembangan utama yang anda lihat berbanding musim lalu?
J: Musim kedua ini menyaksikan peningkatan yang ketara dari segi keserasian pemain, kematangan taktikal serta struktur organisasi pasukan. Kami kini lebih bersedia dari aspek fizikal, kecergasan dan mental, hasil pengajaran daripada musim pertama. Tambahan pula, pengesahan penyertaan kategori wanita dan L-19 melengkapkan struktur pembangunan futsal kami, seiring dengan pasukan bola sepak yang akan bersaing di Liga AFL A3 serta liga negeri anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan.
2. Bagaimana kerjasama antara KPTM Bangi dan Nilai City FC dapat mempengaruhi prestasi dan persiapan pasukan musim ini?
J: Kerjasama strategik ini memperkukuh organisasi kelab, khususnya dari aspek fasiliti latihan, sains sukan, penyertaan pemain muda berbakat serta sokongan akademik. Ia memberi impak positif terhadap pembangunan jangka panjang kelab dalam usaha mencapai sasaran untuk bersaing di Liga MPFL Divisyen 1.

3. Dengan sedikit perubahan dalam barisan kejurulatihan, apakah impak yang anda lihat dari segi strategi dan motivasi pemain?
J: Perubahan ini membawa nafas baharu kepada pasukan, selaras dengan perancangan kelab untuk mencapai status Semi-Pro atau Pro menjelang 2030. Kehadiran jurulatih baharu dengan pendekatan yang lebih moden dan dinamik telah menyuntik semangat serta motivasi tambahan kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainan yang lebih kompetitif.
4. Apakah sasaran utama Nilai City FC untuk musim ini, terutamanya selepas menamatkan musim lalu di pertengahan liga?
J: Sasaran utama kami musim ini ialah untuk layak ke saingan Malaysia Futsal Cup. Kami percaya dengan pengalaman barisan kejurulatihan yang ada, pasukan mampu memperbaiki prestasi musim lalu dan memberikan cabaran lebih sengit dalam setiap perlawanan.

5. Bolehkah anda kongsikan beberapa pemain kunci yang dijangka bakal menyerlah musim ini?
J: Buat masa ini masih terlalu awal untuk menamakan pemain utama. Namun, kami optimis bahawa barisan muka baharu yang rata-ratanya lebih muda memiliki potensi besar untuk menyerlah di pentas MPFL Divisyen 2 musim ini.
6. Apakah cabaran utama yang dihadapi pasukan dalam persiapan musim baharu ini?
J: Cabaran utama kami ketika ini adalah untuk menstabilkan kedudukan kewangan kelab. Namun begitu, kami kekal positif dan terus merencana strategi, program, aktiviti serta usaha perniagaan bagi memastikan kelab kekal kukuh dari segi pengurusan dan perancangan.

7. Apakah pendekatan yang digunakan Nilai City FC bagi memastikan prestasi pasukan kekal konsisten sepanjang musim?
J: Fokus kami adalah terhadap konsistensi dalam latihan, pengurusan fizikal dan mental pemain serta penerapan pendekatan taktikal yang fleksibel. Selain itu, sokongan daripada penyokong dan komuniti juga memainkan peranan penting dalam memberi semangat dan tenaga kepada pasukan sepanjang musim.
8. Tular dakwaan mengenai tunggakan gaji musim lalu. Apakah penjelasan rasmi pihak kelab mengenai isu ini?
J: Kelab mengambil maklum isu yang dibangkitkan dan ingin menjelaskan bahawa kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan. Isu yang dimaksudkan bukanlah melibatkan gaji bulanan, sebaliknya berkaitan imbuhan berbentuk elaun perlawanan yang kini sedang dijelaskan secara ansuran sejak Februari lalu. Kami komited untuk memperkukuhkan kembali kepercayaan semua pihak terhadap pengurusan pasukan. Penerangan serta dokumentasi berkaitan telah pun dikemukakan kepada pihak berwajib bagi memastikan segala urusan diselesaikan secara profesional dan telus.

