Terbaru

ATM Sudah Bersedia Dengan Ramuan Baru

Pasukan futsal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali bersaing dalam saingan MPFL Divisyen 2 musim 2025 dengan membawa gabungan mantap pemain berpengalaman serta suntikan darah muda, termasuk dua pemain berbakat dari Kedah U19. Menurut pengurusan pasukan, mereka mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan menambah seramai enam pemain baharu dalam usaha memperkukuhkan skuad bagi musim ini. Gabungan ini diharapkan memberi impak positif bagi mencapai sasaran mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan teratas liga.

Ketua jurulatih pasukan, Izmir Firdaus bin Zainal Ariff, mengetuai persiapan ATM untuk menghadapi musim ini. Beberapa pemain berprofil tinggi seperti Mohd Shamsuri bin Saleh, Raziman Opao dan Alif Iqwan bin Hussin dijangka menjadi tumpuan utama, manakala muka baharu seperti Mohd Izzmal Aizza bin Tuah dan Muhammad Fuad Sufian bin Azizan dari Kedah U19 turut diharap mampu mencuri perhatian sepanjang musim.

Pasukan masih mengekalkan struktur dan taktikal utama musim lalu, dengan penambahbaikan pada aspek permainan dan latihan bagi meningkatkan tahap persediaan fizikal dan mental pemain.

Desas-desus terkini turut menyebut bahawa ATM berpotensi diperkuatkan dengan pemain dari Thailand hasil usaha sama dengan Thai Army FC, yang jika menjadi kenyataan, bakal memberikan dimensi baharu kepada kekuatan pasukan musim ini.

Bagi musim 2025, ATM kekal menerima sokongan padu daripada penaja utama mereka, PIVO dan Vellar, yang terus memberi komitmen untuk menyokong pasukan mengharungi cabaran musim baharu dengan lebih yakin dan tersusun. Dengan struktur pasukan yang stabil serta barisan pemain berpengalaman dan berbakat, ATM bersedia memberikan saingan sengit dalam MPFL Divisyen 2 2025 dan mencapai sasaran kedudukan lima terbaik liga.