Kedah Sabah MPFL 2025

Ini Respon Pengendali Kedah Tentang ‘Suhu Panas’ Di Alor Setar

Layangan kad merah, deretan kad kuning kepada jurulatih dan pemain serta salah seorang pengendali diarahkan meninggalkan gelanggang adalah antara skrip panas di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu lalu.

Dalam aksi kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1, Kedah yang melayan kunjungan Sabah berjaya mengatasi lawannya itu dengan keputusan 3-1. Tambah menarik, Kedah yang merupakan pendatang baharu divisyen utama negara itu telah berjaya menewaskan pasukan yang menamatkan musim lalu di kedudukan kelima liga.

Mungkin atas faktor itulah perlawanan ini agak tegang dan panas. Malah, Sabah juga pastinya tidak mahu tunduk kepada pasukan yang baru dinaikkan pangkat. Namun, dengan sorakan penyokong sendiri, Kedah ternyata memiliki dorongan kuat untuk bangkit. Ketinggalan seawal minit ke-5 dalam aksi minggu ke-2, Kedah berhasil meraih tiga mata.

Dzul Idzwanizam Madin memberikan pelawat permulaan yang baik sebelum pemain terbaik perlawanan, Shamsuri Saleh meledak gol penyamaan lapan minit berselang. Nattawat Luksanato membawa tuan rumah kembali mendahului aksi dengan jaringan di minit ke-22, sebelum Shamsuri sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-38 buat Kedah.

Sabah sudah tentu tidak mahu merencatkan langkah kemenangan mereka selepas menang dalam aksi pembukaan minggu lalu, sementara Kedah pula memburu tiga mata pertama mereka untuk berada tidak jauh terbelakang nanti.

Dua pemain telah dilayangkan kad merah iaitu Yazid Kamaruzuan untuk Kedah dan pemain import Sabah, Igor Paulo Silva. Selain itu, beberapa kad kuning turut dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Adib Zulkipli kepada pemain termasuk barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan. Tambah panas, pengendali Sabah, Nacho Garrido Gallego turut diarahkan meninggalkan gelanggang selepas menerima kad merah saat perlawanan sedang menuju ke wisel penamat.

Pada pendapat saya, perlawanan ini menjadi agak tegang pada malam ini kerana kedua-dua pasukan inginkan kemenangan,” ungkap pengendali Kedah, Muhammad Aidiel Boon Abdullah ketika dihubungi Arena Futsal Malaysia.

Pemain-pemain sentiasa bersemangat dan alhamdulillah kembali bangkit untuk menang. Semua ini hasil daripada disiplin, kerja keras dan kesabaran semua pemain,” jelas Aidiel Boon sambil menekankan yang pasukannya perlu berusaha untuk berubah bagi mereka mampu mempamerkan aksi yang lebih menarik dan hebat selepas ini.

Kedah akan berkunjung ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini untuk berdepan pasukan di kedudukan ketiga, KL City.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top