Awalluddin JDT Selangor MPFL 2025

Awalluddin Cetak Gol Berkelas Dunia Saat JDT Atasi Selangor

Minggu lalu, kedua-dua pasukan ini mempamerkan nafsu besar masing-masing tatkala menumbang lawan mereka dengan jurang gol besar. Begitupun, saat mereka saling bertemu minggu ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih memiliki kehebatan berbanding Selangor. Selangor tewas 0-3 di halaman sendiri dalam aksi yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam perlawanan yang dijalankan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam itu, JDT dan Selangor tampak mempamerkan prestasi permainan yang baik dan penuh kepantasan, tapi pasukan pelawat jelas memiliki sentuhan penyudah yang lebih tajam. Selain itu, kekebalan Goleiro, Azrul Hadee sangat membantu JDT untuk meraih tiga mata.

Perlawanan ini diwarnai satu jaringan yang boleh dianggap sebagai berkelas dunia hasil ciptaan Awalluddin Mat Nawi.

Bermula dengan hantaran jauh oleh Azrul Hadee yang berjaya menemui Awalluddin, pemain skuad kebangsaan itu mengawal dan membuat pusingan seterusnya melepaskan rembatan separa voli kaki kiri untuk membuka tirai jaringan.

Walaupun diketahui memiliki penyudah yang tajam, namun jaringannya pada perlawanan itu tampak menakjubkan.

Ketenangannya menerima dan mengawal bola ketika dikawal pemain lawan serta melepaskan percubaan daripada sudut yang sukar seterusnya mencipta gol daripada percubaan itu menceritakan sensasi kepada jaringan tersebut.

Menerusi temu bual dengan portal Harimau Malaya, pengendali JDT, Juan Antonio Miguel dilihat tidak mahu terlalu memberikan kredit secara peribadi kepada mana-mana pemainnya termasuklah Awalluddin dan Azrul Hadee yang tampil cemerlang. “Lebihkan kerja keras, lebihkan fokus, ini mesej penting kepada pasukan saya,” ungkapnya.

Ini hanyalah tiga mata, bukan kita menjulang kejuaraan. Ia hanyalah menang satu perlawanan di sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awalluddin menambah koleksi jaringannya seminit kemudian, sebelum bekas pemain Selangor, Syed Aizad Daniel Syed Nasir mencetak gol ketiga untuk JDT membawa pulang tiga mata dalam aksi kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025. Kemenangan ini membantu JDT kekal di puncak liga dengan enam mata penuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top