
Bulan Ramadan Bukan Halangan Nafsu Besar JDT, Selangor
On March 9, 2025 by Al-Zaim ArzamanJohor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers dan Sabah melalui aksi minggu pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025 dengan baik apabila masing-masing berjaya melakar kemenangan sulung mereka.
Kesemua perlawanan telah berlangsung pada sebelah malam dalam aksi yang dilangsungkan pada bulan Ramadan.
Menariknya, daripada empat pasukan tersebut, tiga pasukan adalah tuan rumah iaitu JDT, Selangor dan Pahang Rangers, sementara Sabah pula berkunjung ke Ortuseight Arena, Kuala Lumpur untuk menentang TOT United.
Juara berganda musim lalu, JDT berhasil melakar kemenangan dominan selepas menewaskan pendatang baharu Divisyen 1, Malaysian University FT (MUFT) dengan keputusan 8-3 di Pasir Gudang. Caio Cesar meledak hatrik diikuti satu gol masing-masing menerusi Bruno Taffy, Awalluddin Mat Nawi, Firdaus Ambiah serta dua gol ciptaan Abu Hanifah.
Kedah yang juga merupakan pendatang baharu di Divisyen 1 dipaksa tunduk 1-5 kepada Selangor dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic. Waima Kedah tampil memberi tentangan di babak pertama apabila hanya ketinggalan dua gol, finalis Malaysia Futsal Cup (MFC) musim lalu itu akhirnya menambah tiga gol di babak kedua
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Dos Santos, Syahir Iqbal, Khairul Effendy dan dua gol ciptaan Muhammad Faris.
Di Stadium Tertutup SUKPA, Pahang Rangers sedikit bergelut sebelum melakar tiga mata berharga. Mereka menang 4-3 ke atas KL City dengan Felipe de Souza, Norakmal Norizal, Harith Na’im dan Razin Rahim muncul sebagai pencetak gol.
Sabah muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi dalam aksi minggu pertama apabila mengatasi TOT United 2-0 di arena lawan. Gol Sabah dicipta oleh Vitor da Silva dan Zulhairi Haris dalam aksi babak pertama.
Kemenangan besar JDT membolehkan mereka berada di takhta saat ini dengan Selangor mengekori rapat di belakang.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.