
Dengan Persiapan Sebegini, Kedah Mampu Berada Di Kelompok Atas MPFL Div 1
On February 10, 2025 by Al-Zaim ArzamanPendatang baharu Divisyen 1, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025, Kedah selesai mengumumkan kemasukkan dua pemain import pada awal Februari lalu. Kini hanya tinggal pengumuman pemain-pemain tempatan sahaja.
Kedah bertindak pantas mengekalkan pivot asal Thailand, Nattawat Luksanato yang mempamerkan prestasi luar biasa di Divisyen 2 musim lalu apabila meledak 15 gol dalam 13 penampilan, membantu mereka meraih gelaran naib juara.
Ketajaman serta pengalaman Nattawat yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand pastinya ditagih melihatkan cabaran di Divisyen 1 nanti. Keserasiannya bersama pemain-pemain sedia ada tidak lagi perlu diuji.
Mereka turut membawa masuk fixo yang berpengalaman di antarabangsa, iaitu bekas pemain skuad kebangsaan Paraguay, Cesar Shammir Olmedo Ayala yang musim lalu bermain di Thailand bersama JT Truck Nakhon Ratchasima.
‘Tembok Paraguay’ ini pernah membantu Paraguay meraih pingat gangsa di Copa Centroamericana dengan mencetak dua gol ketika menentang Honduras. Beliau juga beraksi baik di peringkat kelab bersama beberapa kelab ternama di Amerika Selatan seperti Cerro Porteno dan Simon Bolivar, yang beliau membantu mereka menjuarai Copa de Oro 2022.
Jadi, dengan pengesahan dua pemain import ini, semua penyokong tertumpu kepada barisan pemain tempatan yang bakal bersama mereka musim ini. Adakah semua pemain musim lalu akan dikekalkan atau akan ada perubahan?
Dalam satu sesi TikTok LIVE baru-baru ini, seorang wartawan sukan arus perdana memaklumkan, beliau difahamkan terdapat sejumlah pemain yang berpengalaman sedang menuju ke utara tanah air untuk menyertai Kedah. Kita juga maklum, terdapatnya beberapa pasukan yang telah ‘tutup kedai’ dan tidak lagi bermain di Divisyen 1 pada musim ini.
Jika pemain-pemain daripada pasukan-pasukan tersebut yang datang, ia satu tambah nilai yang terbaik buat Kedah.
Difahamkan juga, yang berada di belakang tabir pasukan juga sudah diatur sebaiknya, bukan hanya pemilihan pemain.
Mungkin tak salah untuk kita letakkan Kedah sebaris dengan kelab yang mampu berada di kelompok atasan Divisyen 1.
Cubaan Arena Futsal Malaysia untuk mendapatkan kepastian daripada kem Kedah tidak berhasil dan mereka memilih untuk menutup mulut buat masa ini. Mereka maklumkan yang segala berita akan diumumkan apabila tiba masanya.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.