Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengesahkan lapan pasukan yang bakal beraksi di Divisyen 1, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 iaitu juara berganda edisi lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers, Sabah, KL City, TOT United serta dua pasukan Divisyen 2 edisi lalu iaitu Kedah dan Malaysian University FT (MUFT).
Turut diumumkan adalah tarikh pendaftaran pemain iaitu bermula pada 25 Januari hingga 23 Februari untuk jendela pertama dan 12 Mei hingga 23 Mei untuk yang kedua. Pertandingan pula berlangsung pada 8 Mac hingga 13 Julai 2025.
Berikut adalah tarikh-tarikh penting pertandingan Divisyen 1 serta pertandingan lain yang melibatkan futsal di Malaysia.
Kita sedia maklum, Divisyen 1 akan berlangsung selama 14 minggu bermula pada 8 Mac hingga 13 Julai 2025. Divisyen 2 pula dijangka akan bermula pada 24 Mei hingga 20 Julai selama lapan minggu. Sebaik sahaja saingan Divisyen 2 berakhir, Malaysia Futsal Cup (MFC) pula akan mengambil alih bermula pada 26 Julai hingga 30 Ogos.
Paling mencuri tumpuan tentunya pertandingan MPFL bagi kategori wanita yang dijadualkan akan bermula pada 14 Jun hingga 17 Ogos 2025. Dijangka akan berlangsung selama 10 minggu, ia mungkin bukan dalam skala yang kecil.
Jadi secara keseluruhannya, pertandingan futsal di negara kita akan melabuhkan tirainya pada 30 Ogos 2025.
Selepas itu, kita bakal dihidangkan dengan pusingan kelayakan AFC Futsal Asian Cup yang dijangka akan bermula pada 13 hingga 26 Oktober. FAM turut menyediakan empat slot untuk skuad kebangsaan berkumpul dan bersedia sepanjang tahun ini iaitu pada 7 hingga 16 April, 15 hingga 25 Julai, 10 hingga 15 September dan 1 hingga 7 Oktober 2025.
Penghujung 2025, skuad negara akan terlibat dengan Sukan SEA yang berlangsung di Thailand – 1 hingga 20 Disember.
Berikut ringkasan perjalanan arena futsal negara sepanjang 2025, tertakluk kepada sebarang perubahan oleh FAM.
Kem latihan skuad kebangsaan
- 7 – 16 April 2025
- 15 – 25 Julai 2025
- 10 – 15 September 2025
- 1 – 7 Oktober 2025
AFC Futsal Asian Cup 2025
- 13 – 26 Oktober 2025
Sukan SEA 2025
1 – 20 Disember 2025
MPFL Divisyen 1
- 8 Mac – 13 Julai 2025
MPFL Divisyen 2
- 24 Mei – 20 Julai 2025
MPFL Wanita
- 14 Jun – 17 Ogos 2025
