
Saudara Terdekat Teerasil Dangda Perkasakan Kedah
On June 18, 2024 by Al-Zaim ArzamanKudrat saudara mara kepada penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda iaitu Natthawat Luksanato ditagih Kedah untuk beraksi di Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bersama seorang lagi pemain asal Thailand, Nontawat Rakpitakwong.
Kemasukkan dua pemain itu diumumkan di laman Facebook, Persatuan Bola Sepak Kedah tempohari. Mereka juga sudah diturunkan ketika aksi persahabatan menentang FC5 di Pulau Pinang yang menyaksikan Kedah berjaya meraih kemenangan 4-3 ke atas lawan.
Natthawat juga merupakan bekas pemain skuad kebangsaan Thailand dan pernah membantu mereka meraih kejuaraan AFF 2012.
Bermula dengan bola sepak bersama Teerasil, laluannya sedikit berliku yang kemudian membawanya beralih arah ke sukan futsal.
Beliau dipanggil membarisi skuad kebangsaan yang menjuarai AFF 2012 atas prestasi baiknya bersama Pattaya City, meledak 19 gol.
Menurut biografinya yang digarap di laman Facebook pasukan bola sepak Thailand, War Elephant, beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan antaranya Bangkok City, Bangkok BTS, Surat Thani, Bangkok Glass, Ayutthaya City dan National Telecom FC (CAT).
Selain itu, Natthawat turut pernah melebarkan sayapnya ke Indonesia dan Myanmar apabila menyertai Vamos Mataram dan MIU FC.
Prestasi terbaiknya hadir semula pada musim 2014 ketika menyarung jersi Ayutthaya City apabila meledak 40 gol seterusnya dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan. Namun, beliau telah digugurkan untuk skuad yang telah dibawa menyertai kejohanan AFF 2014.
Untuk Nontawat, tidak banyak yang dapat diperolehi mengenainya selain pernah beraksi bersama Terengganu pada musim lalu.
Adakah kedua-dua pemain ini bakal memberi impak terbaik buat Kedah di pentas Divisyen 2 yang akan bermula hujung minggu ini?
Kedah turun berdepan Nilai City pada Sabtu dan Canaan FC pada Ahad. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Sportizza, Setapak.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.