Guntur Sulistyo Gombak TOT MPFL 2024

5 Gol Guntur Sulistyo Pastikan Sabah Terduduk

Dua perlawanan Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 berlangsung semalam dan JDT berhasil membenam Terengganu dengan keputusan 8-1 di Pasir Gudang, sementara Gombak TOT pula telah menewaskan Sabah dengan keputusan 7-5, di Shah Alam.

Walaupun keputusan besar yang dicipta JDT mungkin mencuri tumpuan, namun, sensasi ciptaan pemain Gombak TOT lebih berimpak.

Sabah mungkin berhasil menundukkan Selangor minggu lalu, namun berdepan cabaran satu lagi pasukan dari Selangor, Gombak TOT, menghadirkan suasana berbeza tatkala pemain import dari Indonesia, Guntur Sulistyo mencipta sensasi dengan mencetak lima gol.

Guntur tidak menunggu terlalu lama apabila melengkapkan terlebih dahulu hatriknya untuk pelawat mendahului perlawanan 4-1 waima Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Kairul Sukri sebelum ia disamakan oleh Habibi Sultan.

Gol-gol Guntur dilakar pada minit ke-18, ke-19 dan ke-21 untuk menceriakan kem Gombak TOT yang dibelasah JDT pada minggu lalu.

Ia sekaligus memberi suntikan motivasi di kem mereka selepas moral mereka diranap JDT dengan kekalahan besar, 1-6 di halaman sendiri.

Felipe Leite kembali merapatkan jurang buat Sabah di minit ke-25, namun Guntur memastikan ia hanya sementara, empat minit berselang.

Pengendali Sabah, Patt Sriwijit tampak menggunakan taktikal ‘Powerplay’ bagi memburu gol tatkala ketinggalan 5-2 dan ia berhasil apabila Ahmad Azim Mohammad menjaringkan gol pada minit ke-33 dan ke-36 serta jaringan Hikmal Firdaus Darul Ridzuan pada minit ke-35.

Namun dek kerana terlalu bergantung dengan taktikal tersebut, Sabah membuat dua kesilapan yang menghadiahkan dua gol kepada Gombak TOT menerusi Ridhwan Zainal dan Guntur, yang melengkapkan lima golnya dalam penampilan keduanya di MPFL sulungnya.

JDT menjadi pasukan pertama meraih tiga mata dalam dua perlawanan selepas cemerlang membenam Terengganu 8-1 di halaman sendiri.

Sebelum perlawanan, mungkin ramai mahu melihat tentangan yang akan cuba dihidangkan pelawat yang hadir ke Pasir Gudang selepas meraih kemenangan besar, 6-1 ke atas KL City. Namun, sebaliknya berlaku apabila JDT mendahului babak pertama dengan kedudukan 5-0.

Ia umpama perlawanan yang mudah buat pencabar kejuaraan musim ini apabila Terengganu membariskan pemain-pemain tempatan.

Gol-gol tuan rumah dicipta oleh Azri Rahman pada minit pertama dan ke-21, Ridzwan Bakri (12′), Abu Haniffa Hasan (15′), Saad Sani (16′, 27′), Danial Dain (17′) dan Fakhrul Islam Anizam (22′). Gol saguhati pasukan lawan pula dilakar oleh Akram Mukhriz di minit ke-35.

Malam ini berlangsung dua lagi aksi melibatkan pertembungan antara Pahang Rangers dan Selangor serta KL City bertemu Shah Alam City.

Start a Conversation