Tag: Ridzwan Bakri

Ridzwan Bakri Mahadir Harahap JDT Pahang Rangers

Adakah Perpindahan Ridzwan Bakri, Mahadir Harahap ‘Pintu Belakang’?

Drama berpanjangan dua pemain Pahang Rangers, Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) Futsal terjawab akhirnya apabila kedua-duanya sah diumumkan menyertai kelab tersebut, beberapa hari sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup.

Petang tadi, Pahang Rangers menerusi media sosial rasmi pasukan mengumumkan perpindahan Ridzwan dan Mahadir ke JDT Futsal dengan bayaran yang tidak didedahkan – berkemungkinan melibatkan nilai yang besar disebabkan reputasi kedua-dua pemain itu.

Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap atas sumbangan mereka semasa bersama Pahang Rangers, terutamanya dalam memenangi dua piala pada musim 2023,” titip Pahang Rangers di laman Facebook mereka mengenainya.

Kedua-dua pemain telah bersetuju untuk menyertai @jdtfutsal dengan bayaran yang tidak didedahkan bagi musim 2024, yang akan digunakan oleh kelab untuk meneruskan kemajuan dan pembangunan masa depan kami,” tambah mereka lagi mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, JDT Futsal turut mengumumkan ketibaan kedua-dua pemain yang merupakan tonggak skuad kebangsaan itu.

Sebelum ini, Ridzwan dan Mahadir dikhabarkan ‘ponteng’ pramusim selama lebih sebulan. Turut menjadi buah mulut dikalangan penyokong adalah kemungkinan besar mereka bakal menyertai pasukan yang mempunyai reputasi besar di arena bola sepak negara.

Kedua-duanya dan JDT Futsal menerima pelbagai tanggapan negatif sehingga Pahang Rangers dan JDT Futsal terpaksa mengeluarkan kenyataan mengenai status mereka, menyebabkan khabar angin urusan perpindahan antara kedua-dua pasukan menjadi realiti.

Ridzwan juga tampil dengan kenyataan tentang beliau menghormati kontraknya bersama Pahang Rangers disamping memaklumkan beliau sebenarnya sedang bercuti di kampung halamannya dan sudah memaklumkannya kepada pihak pengurusan Pahang Rangers lebih awal.

Dengan terlerainya isu ini, kedua-dua pasukan dan para penyokong akan lebih tertumpu kepada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang bakal membuka tirainya pada 17 Februari depan dengan wajah baharu dan perubahan syarat slot kouta pemain import.