
Kemenangan Sulung Bantu SAC, Pahang Rangers Terus Ekori JDT
On February 26, 2024 by Al-Zaim ArzamanJDT berada di puncak dengan enam mata maksimum selepas mengharungi dua aksi Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, namun sedang diekori rapat oleh dua pasukan, Shah Alam City dan Pahang Rangers yang turut melakar kemenangan, malam tadi.
Shah Alam City cemerlang mengatasi KL City 8-3, sementara Pahang Rangers pula mengecewakan Selangor dengan kemenangan 8-4.
Kemenangan kedua-dua pasukan yang saling terikat pada minggu pertama tempohari – terikat seri 6-6, telah membantu mereka berada di tangga ke-2 dan ke-3 liga dengan mengumpul empat mata, hanya dipisahkan dua mata di belakang JDT, yang unggul di takhta liga.
Beraksi di Stadium Tertutup SUKPA, Pahang Rangers berjaya membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Murilo Saad sebelum Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin meletak tuan rumah mendahului perlawanan tiga gol tanpa balas pada minit ke-3 dan ke-4.
Hamdin Zarif menambang jurang gol pada minit ke-12 untuk babak pertama berakhir dengan kedudukan 4-0, memihak Pahang Rangers.
Itu adalah permulaan kepada kisah hatrik ciptaan Hamdin yang kemudian melakar dua lagi jaringan peribadi di minit ke-30 dan ke-38.
Bukan hanya Hamdin, Filipe de Souza turut mencipta nama selaku penjaring hatrik menerusi tambahan gol pada minit ke-28 dan ke-32.
Selangor cuba bangkit, namun setiap kali gol dihasilkan, tuan rumah akan menambah jurang gol semula. Gol-gol pelawat dihasilkan oleh Syahir Iqbal Khan pada minit ke-23, Khairul Effendy (26′), Matheus Vasconcelos Silva (35′) dan gol sendiri Nazreen Saudi di minit ke-39.
Shah Alam City pula menepati sasaran untuk mengatasi KL City apabila melakar kemenangan 8-3 di Kompleks Sukan ISN, Raja Muda.
Walaupun membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi jaringan sendiri pemain pelawat, Razin Rahim, KL City gagal memanfaatkannya untuk menguasai perlawanan seterusnya meraih tiga mata pertama di saingan Divisyen 1 kali ini.
Shah Alam City mempamerkan watak garang dengan mengegar gawang lawan tiga kali berturut-turut dalam tempoh hanya tiga minit menerusi ledakan Aliff Roslan pada minit ke-13, diikuti oleh jaringan Kelwin Soares (14′) dan Isayas Figueiredo (15′).
Empat minit berselang, Dinesh Kumar seperti memberi semula harapan buat KL City apabila mencipta gol kedua, namun Farhan Khairul Anuar berhasil menambah jaringan buat Shah Alam City pada minit ke-20. Isayas menambah lagi gol pada minit ke-23 untuk pelawat mendahului aksi dengan kedudukan 5-2, sebelum ledakan Zainal Abidin, tiga minit kemudian, meletak pelawat lebih selesa.
Kisshaen Ananthan memberikan KL City gol terakhir mereka pada malam tadi menerusi jaringan di minit ke-35, sebelum Shah Alam menutup malam indah mereka dengan gol oleh Nurasyraaf Azle (35′) diikuti Isayas yang melengkapkan hatrik peribadinya.
Carta Kedudukan MPFL Divisyen 1 2024
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 25, 2024
* Selepas Hari Perlawanan 2 pada 24 & 25 Februari 2024#FAM #HarimauMalaya #Futsal #MPFL2024 pic.twitter.com/KHAv7qiwBc
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.