Ini Jangkaan Pergerakan Kedudukan Divisyen 1 Di Minggu Ke-2
On February 22, 2024 by Al-Zaim ArzamanBerakhirnya aksi minggu pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) unggul di takhta carta Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.
Membelasah Gombak TOT 6-1 dalam aksi pembukaan liga adalah sesuatu yang diluar jangkaan seterusnya melonjak mereka ke puncak, merekodkan perbezaan gol yang besar, serta berkongsi kedudukan bersama pasukan dibarisi 100 peratus pemain tempatan, Terengganu.
Merekodkan jumlah jaringan dan bolos yang sama seperti JDT, Terengganu tampil membelasan KL City di halaman sendiri. Sabah pula menempatkan diri di tangga ke-3 apabila meraih kemenangan mengejut, 3-2 ke atas Selangor dalam aksi pertama di KSN Panasonic.
Kedudukan ini dijangka bakal sedikit berubah dengan JDT akan bertemu Terengganu untuk aksi minggu ke-2 pada 24 Februari ini. Adakah kedua-dua pasukan akan terikat dengan keputusan seri, berdasarkan keampuhan yang telah ditampilkan kedua-dua pasukan?
Sabah berpeluang memintas kedudukan kedua-dua pasukan, jika mereka memanfaatkan situasi kurang baik di kem Gombak TOT kini. Dibelasah tanpa ehsan oleh JDT pasti sedikit sebanyak memberi kesan terhadap momentum dan moral pasukan untuk aksi kedua nanti.
Bagaimana peluang pasukan yang berada di kedudukan ke-4, Pahang Rangers? Juara berganda musim lalu itu baru melalui situasi getir, dibolosi enam gol tatkala terikat 6-6 berdepan Shah Alam City. Berdepan Selangor yang dikecewakan Sabah, ia tidaklah membantu.
Namun, mungkin satu pertempuran sengit bakal dihadapi mereka sekali lagi, dengan Selangor juga tidak mahu lagi keciciran mata.
Shah Alam City barangkali paling beruntung dengan tiada tekanan waima hanya meraih satu mata minggu lalu. Mengikat juara berganda, Pahang Rangers bakal melonjak moral pasukan seterusnya memudahkan urusan mereka untuk berdepan KL City pada 25 Februari.
Sabah dan Shah Alam City mungkin mampu mengubah kedudukan yang lebih baik untuk minggu kedua, jika mereka memanfaatkan situasi lawan mereka. Untuk pertemuan antara JDT dan Terengganu, ia akan jadi lebih menarik, jika salah satu pasukan berhasil meraih tiga mata.
Bagaimana jangkaan anda? Adakah kedudukan minggu pertama cerminan kemampuan sebenar setiap pasukan di Divisyen 1, musim ini?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.