
Akademi Bola Sepak Kerteh FC : Melatih Dari Akar Umbi Untuk Melahirkan Pemain Berkualiti Untuk Masa Hadapan
On November 17, 2020 by WanShaUmumnya, penubuhan akademi bola sepak mempunyai motif yang jelas iaitu untuk mencungkil dan melatih bakat baharu di peringkat awal. Ianya juga akan diharapkan dapat melahirkan pemain yang berkualiti sekaligus dapat meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak itu sendiri
Di Malaysia, selain daripada Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari, terdapat juga beberapa akademi bola sepak yang ditubuhkan secara persendirian. Antara salah satunya, akademi bola sepak di bawah naungan Kerteh FC.

Sedikit info ringkas mengenai Kerteh FC, kelab ini asalnya merupakan sebuah kelab bola komuniti yang berasal dari sebuah daerah di Terengganu dan merupakan Juara berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) pada tahun 2019. Ditubuhkan pada tahun 2018 dan pada 15 November lalu merupakan ulangtahun yang ke-2 bagi Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC).
Akademi Bola Sepak dibawah naungan Kerteh FC ini mempunyai pengarah teknikal bukan calang-calan orang iaitu Oscar Riera yang merupakan bekas pengarah sukan kelab La Liga, RCD Espanyol. Dengan pengalaman yang dimiliki Riera dalam industri bola sepak sememangnya menjadikan Riera calon yang terbaik mengisi posisi itu, perkara ini juga diakui sendiri oleh Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim.
Di dalam Akademi Bola Sepak ini terdapat dua bahagian iaitu peringkat akar umbi (grassroot) dan juga bola sepak professional. Peringkat akar umbi terdiri daripada U8, U10,U12, U14 (Soccer school, tahap 1), U16, U18B (Youth Football, tahap 2) manakala untuk professional pula terdiri daripada U18A, Senior B (Pre professional, tahap 3) dan juga Skuad Utama (Professional, tahap 4)

Pada tahun 2019, Akademi Bola Sepak ini telah menerima seramai 90 orang pelatih, yang mana seramai 32 orang untuk U8, 38 orang untuk U10 dan 20 orang untuk U12.
Apa yang menarik dengan Akademi Bola Sepak ini, bukan sahaja memberikan penekanan untuk melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti tetapi turut menekankan mengenai aspek spritual dengan menyediakan kelas mengaji Al-Quran secara percuma kepada mereka yang mendaftar untuk menyertai Akademi Bola Sepak ini.
Sedikit info mengenai yuran pendaftaran pula, bagi mereka yang berminat untuk menyertai Akademi Bola Sepak ini yuran yang dikenakan cuma RM 150.00 sahaja dan yuran bulanan RM 100 – RM150 bergantung pada lokasi, bagi setiap pendaftaran akan diberikan 2 pasang jersi, 2 pasang stokin. Pemberian biasiswa juga turut diberikan oleh kelab kepada pelatih U14 yang terpilih untuk memasuki program elit.

Terbaru, Kerteh FC secara rasminya mengumumkan pemeteraian kerjasama antara pasukan itu dengan sebuah kelab berpangkalan di Barcelona, Sepanyol iaitu UE Sant Andreu. Kerjasama ini dilihat akan memberikan satu kelebihan kepada Akademi Bola Sepak Kerteh FC baik dari aspek untuk mengembangkan lagi bakat pemain bola sepak, membantu perkembangan pelatih di akademi sekaligus meluaskan lagi jenama The Oilers di peringkat antarabangsa khususnya di Sant Andreu.

Bercakap mengenai perancangan di masa hadapan pula, Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim meletakkan target dalam masa 5 tahun sekurang-kurangnya sudah terdapat tiga francais Akademi Bola Sepak Kerteh, dengan yang terbaru akan dibuka di Lembah Klang.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.