
Chun Yong Manfaat Aksi Di Lubnan
On February 1, 2018 by FixoKetua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong akan menyerap sebanyak mungkin aura positif daripada pertembungan terakhir bertemu Lubnan bagi mengharungi aksi pembukaan Kejuaraan Futsal AFC menentang Vietnam di Taiwan, esok.
Pada aksi persahabatan dengan Lubnan yang menjadi aksi terakhir skuad negara sebelum ke Taiwan, Malaysia berjaya mencatat keputusan seri 2-2.
Pasukan negara perlu menang ke atas Vietnam sebelum mengharungi dua lagi aksi Kumpulan A menentang tuan rumah, Taiwan Sabtu ini dan Bahrain (Isnin) dalam usaha layak ke suku akhir yang menjadi sasaran Chun Yong.
Chun Yong mempunyai tempoh kurang tiga minggu untuk mempersiapkan skuadnya bagi mengharungi kejohanan itu termasuk membawa pemainnya mengharungi tiga aksi persahabatan antarabangsa di Beirut dari 21 hingga 24 Januari lalu.
Selepas kekalahan besar 1-5 dan 1-6 kepada Iraq dan Lubnan, skuad kebangsaan berjaya mengikat Lubnan 2-2 pada aksi terakhir yang memberikan Chun Yong alasan untuk optimis.
“Dua perlawanan yang kami tewas disebabkan prestasi kami pada babak kedua dan bukannya disebabkan kami bermain dengan amat buruk,” kata Chun Yong.
“Kami masih bergelut untuk menyesuaikan tempoh masa dan selepas kami mendapat sedikit rehat, kami bermain dengan lebih baik pada perlawanan ketiga.
“Disebabkan kami hanya mempunyai tempoh tiga minggu sebagai persiapan, saya tidak berpuas hati dengan aspek fizikal pasukan.”
Tahun lalu, skuad futsal negara meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur selain mara ke final Kejuaraan AFF di Ho Chi Minh City yang mana mereka menewaskan Vietnam 5-1 pada separuh akhir sebelum tewas 3-4 kepada Thailand di final selepas perlawanan diheret ke masa tambahan.
“Orang ramai mungkin berfikir kami berpeluang cerah untuk melangkah ke suku akhir tapi ketiga-tiga lawan kami di peringkat kumpulan mempunyai masa yang lama untuk bersedia,” kata Chun Yong.
“Selepas Kejuaraan AFF pada November, kami berehat selama dua bulan tapi Vietnam mengadakan latihan di China. Jadi perlawanan dengan Vietnam penting buat kami.”
Menambah kesukaran Chun Yong, pasukannya kehilangan khidmat pemain sayap Awaluddin Hassan, pertahanan Akmarulnizam Idris dan penyerang Azri Rahman susulan kecederaan.
Artikel oleh Devinder Singh / Berita Harian
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.