
Galakan Dari Keluarga Bawa “Lala” Ke Bidang Sukan
On September 14, 2016 by FixoMendapat galakan dari keluarga sejak kecil membuatkan anak jati Johor ini meneruskan minat beliau di bidang sukan sehingga ke hari ini. Keputusan beliau utuk menjadikan sukan futsal sebagai sukan utama telah membuahkan hasil apabila Noor Fadhilah Yahaya telah dinobatkan sebagai pemain terbaik Division Wanita liga futsal IPT 2016 baru baru ini.
Noor Fadhilah atau lebih dikenali dengan panggilan “Lala” merupakan pemain futsal bagi pasukan UTHM. Beliau yang tidak asing lagi di Liga IPT ini berjaya membantu pasukannya peroleh tempat kedua pada musim ini berjaya memperbaiki pencapaian musim lalu yang berjaya peroleh tempat keempat.
Ikuti temubual wartawan Arena Futsal Malaysia bersama pemain muda ini
AFM : Boleh ceritakan sedikit bagaimana karier anda sebagai pemain futsal bermula.
NF : Saya berminat untuk bermain futsal ini dari umur 16 tahun lagi, tetapi ketika itu masih muda dan tiada peluang untuk bermain disebabkan tiada pasukan wanita bawah umur ketika itu. Kemudian ketika saya melanjutkan pelajaran di Politeknik Johor Bahru, saya diberi peluang untuk bermain dan mewakili mereka untuk Liga IPT untuk tahun 2011-2012. Selepas menamatkan pelajaran di Politeknik JB rezeki buat saya apabila saya terpilih untuk mewakili pasukan Johor unutk SUKMA 2013 dan juga Liga Futsal Kebangsaan 2013. Namun pasukan Johor menarik diri daripada menyertai LFK 2013 dan saya terus dipanggil untuk bermain bersama pasukan Negeri Sembilan di LFK. Bermula tahun 2013 itu saya dah mula serius dalam sukan futsal, jika tidak semua sukan saya akan cuba memandangkan saya seorang yang aktif. Selepas itu saya menyambungkan pelajaran di UTHM dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan terus bermain futsal dengan mewakili pasukan ini di Liga IPT sehingga kini.
AFM : Anda telah diangkat sebagai pemain terbaik bagi Division Wanita liga futsal IPT 2016. Tahniah dan boleh ada komen sedikit mengenai pencapaian ini?
NF : Alhamdulillah terima kasih. Untuk musim ini secara jujurnya saya tidak menjangka untuk mendapat anugerah ni. Jika dilihat ramai lagi ramai player yang lebih baik dari saya. Saya agak terkejut juga hari tu nama saya dipanggil. Alhamdulillah syukur , ini adalah rezeki Allah bagi.
AFM : Pasukan UTHM berjaya peroleh tempat kedua pada musim ini. satu pencapaian yang baik daripada musim lepas. boleh anda komen sedikit?
NF : Alhamdulillah, kalau menyertai apa-apa pertandingan. Saya pasti semua pasukan impikan untuk menjadi juara. Kami sering menggunakan ayat ini “dont let your dreams just be dreams and show what you have” dalam setiap pertandingan yang kami sertai. Kalau sebelum ni, UTHM cuma meraih tempat ketiga dan keempat. Tapi dengan semangat satu pasukan, usaha doa dan susah senang bersama alhamdulillah kami peroleh tempat kedua. Walaupun ramai pemain mengalami kecederaan namun kami terus memberikan satu perjuangan yang tinggi.
AFM : Difahamkan anda juga aktif dengan sukan bowling. boleh ceritakan sedikit.
NF : Saya memang seorang yang aktif dari kecik, semuanya galakkan dari abah. Dari sukan Bowling, bola baling, bola jaring, olahraga semua saya main. So bermula dari sekolah saya dah aktif dalam sukan bowling, ketika tingkatan 1 saya dapat untuk masuk ke Sekolah Sukan Bandar Penawar. Namun ketika itu ketinggian saya tidak memenuhi kriteria untuk jadi pemain bola jaring, jadi saya beralih ke sukan bowling. Dari situ saya belajar kesemuanya dan saya juga turut mewakili pasukan UTHM bagi sukan bowling.
AFM : Selaku seorang pelajar adakah aktif di bidang sukan akan memberikan kesan kepada pelajaran anda. boleh komen sedikit.
NF : Boleh tahan juga la ada kesan nya, lebih lagi kalau terikat dengan biasiswa. Agak tertekan juga untuk akademik bila terlalu aktif dalam sukan disebabkan ketinggalan beberapa kelas. Namun itu semua bukan satu alasan untuk kita berjaya di kedua-dua bidang. Sebagai seorang pelajar mereka perlu tahu membahagikan masa dengan betul.
AFM : Harapan anda untuk masa akan datang.
NF : Sudah semestinya harapan saya ingin jadi pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan sukan. Dan berjaya dunia dan akhirat. Amin.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.