Minggu ke-10 liga akan memulakan tirai dengan misi membalas dendam buat pasukan apabila akan menentang pasukan Selangor MPSJ yang mudah menewaskan Perak pada perlawanan liga pusingan pertama di Stadium Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam. Aksi ini sememangnya akan menjadi ruang untuk Perak membalas dendam diatas kekalahan lepas dan memperagakan aksi sebenar pasukan Perak ketika menentang Selangor MPSJ pada jumaat ini. Namun, Selangor MPSJ yang kini berada di tempat ke-3 liga dengan 32 mata bukanlah calang-calang pasukan. Berbekalkan dengan ramai pemain muda yang berbakat, aksi yang berlangsung jam 9.30 pagi di KSL Sports Seri Gombak ini dijangka akan memperlihatkan satu perlawanan pantas dan menghiburkan.

Perlawanan kedua pada hari sabtu pula menemukan Perak dan Pahang jam 8.00 malam. Pahang yang kini berada di tangga ke-9 liga seharusnya memerlukan kemenangan demi kemenangan untuk melayakkan diri ke pusingan ”Grand Final”. Semangat juang serta kesungguhan Pahang seharusnya dipatahkan oleh Perak yang masih berpeluang untuk mendapatkan keputusan yang terbaik pada musim ini. Sekali lagi ketajaman Faizul Azuan dan Mohd Fadzwin di hadapan gol serta kelincahan Mohamad Afendi disamping semangat berpasukan menjadi kunci kepada kejayaan yang diidamkan Perak.

Bagi pasukan wanita, rehat hampir sebulan seharusnya menjadi peluang kepada pasukan wanita untuk memperbaiki segala kekurangan dalam setiap aspek. Latihan keras dan berterusan yang dijalankan sewaktu cuti liga diharapkan mampu menghadirkan corak permainan yang lebih kemas dan mampu diterjemahkan kepada kemenangan. Aksi menentang Sarawak DBKU pada perlawanan pertama minggu ke-10 ini menjadi ruang kepada pasukan untuk mempamerkan aksi kemas berbekalkan kemenangan pada perlawanan pusingan pertama menentang lawan yang sama.

Walaupun begitu pemain Perak tidak boleh terlalu mendabik dada dengan kejayaan itu kerana sudah semestinya pasukan Sarawak DBKU juga akan berusaha lebih bagi menyelamatkan diri yang kini berada 5 mata dibelakang Perak. Penjaring terbanyak Perak, Nur Haniza yang juga adik kepada pemain Liga Super Kelantan, Ahmad Fakri Sa’arani menjadi taruhan untuk meledakkan gawang gol lawan. Satu lagi aksi pasukan wanita adalah menentang pasukan tangga ke-3 liga iaitu Selangor MPSJ ahad ini.

Foto : Arena Seladang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top