
Perak Futsal Tepati Ramalan
On February 1, 2016 by Wak Goleiro
Perak Futsal menepati ramalan awal apabila berjaya mengungguli perlawanan persahabatan 4 penjuru yang dinamakan Piala PAFA 2016. Perlawanan yang bertempat di Prosport Futsal Arena, Chemor ini menyaksikan Perak Futsal, Perak Belia, KPT IIUM Mustang dan Perlis telah menyertai kejohanan jemputan yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Perak ( PAFA ) ini. Kejohanan ini berlangsung secara liga satu pusingan bagi mencari juara bagi edisi sulung ini.
Kejohanan yang berlangsung jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan aksi antara Perak Belia yang dibarisi oleh pemain bawah 19 tahun bangkit dari ketinggalan 0-2 ditangan Perlis untuk memungut 3 mata hasil kebangkitan saat akhir untuk keputusan berakhir dengan 3-2 memihak kepada Perak Belia.
Perlawanan kedua pula menemukan Perak Futsal yang menentang KPT IIUM Mustang. Lawan Perak Futsal itu dalam persiapan bagi menghadapi kelayakan Liga Futsal Kebangsaan musim ini. Serangan bertali arus pasukan Perak Futsal yang mendominasi perlawanan berjaya dinafikan oleh kecekapan penjaga gol lawan yang dikawal rapi oleh Umar Shafiz. Perlawanan yang menarik ini berakhir tanpa jaringan.
Seterusnya aksi ”adik beradik” diantara Perak Futsal menentang Perak Belia. Walaupun pasukan Perak Belia baru dikumpulkan hanya sekali untuk latihan setelah sesi pemilihan dilakukan minggu lepas, mereka mempamerkan semangat juang tinggi bagi mengejutkan ‘’abang’’ mereka apabila berjaya mengejutkan Perak Futsal dengan jaringan minit awal. Namun pengalaman jelas memisahkan kedua-dua pasukan untuk keputusan muktamad memihak kepada Perak Futsal dengan keputusan 5 berbalas 3.
Bagi perlawanan Perlis menentang KPT IIUM Mustang juga tidak kurang menariknya apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan untuk memberikan kemenangan buat KPT IIUM Mustang 4-3. Pasukan yang diwakili pelajar – pelajar dari beberapa Institut Pengajian Tinggi ( IPT ) telah menunjukkan satu aksi yang tangkas bagi memadamkan kelebihan 2 jaringan yang dimiliki Perlis pada satu ketika di babak pertama.
Setelah tamat perlawanan ke-4, para pemain diberikan rehat selama sejam sebelum aksi disambung pada jam 3.00 petang untuk aksi Perak Futsal bertemu Perlis. Perlis ternyata mempelajari banyak aspek dalam aksi ini apabila Perak dilihat menguasai keseluruhan perlawanan untuk mencetak 5 jaringan bagi keputusan akhir Perak Futsal menang 5-0.
Pertemuan diantara Perak Belia menentang KPT IIUM Mustang menjadi penentu kepada pasukan mana yang bakal menjadi juara Piala PAFA 2016 apabila KPT IIUM Mustang perlu menang sekurang-kurangnya dengan kelebihan 7 gol untuk memintas Perak Futsal yang berada di tangga pertama sebelum aksi ini. Perak Belia jelas tidak memberikan laluan mudah buat lawan apabila kerapkali mengasak ke kubu KPT IIUM Mustang namun sentuhan penyudah para pemain muda ini masih gagal untuk menembusi gawang lawan. Masuk babak kedua, KPT IIUM Mustang memperkemaskan aksi bagi menghasilkan 3 jaringan untuk kemenangan 3-0 sekaligus menyaksikan Perak Futsal meraih kejuaraan berdasarkan kelebihan jaringan apabila berkongsi 7 mata dengan KPT IIUM Mustang.
Kejohanan yang diilhamkan PAFA ini dapat menampilkan bakat baru yang mampu diketengahkan bakat mereka sebagai contoh seperti Perak Belia yang menampilkan pemain muda dan dikhabarkan pasukan tersebut telah menurunkan pemain yang berusia 14 tahun. Pastinya perkara ini dapat memberikan pendedahan serta pengalaman yang sangat berguna buat pemain tersebut serta keseluruhan pemain kerana dapat merasai pengalaman beraksi menentang pasukan yang mempunyai pengalaman di Liga Futsal Kebangsaan dan mempunyai corak permainan yang lebih menarik.
Jurulatih KPT IIUM Mustang, Encik Izzat Nazrin ketika ditemubual berkata perlawanan persahabatan ini memberi kesan yg positif untuk pasukan Perak FA dan juga semua pasukan bagi memantapkan pasukan sebelum menghadapi saingan sebenar yg lebih kompetetif .
’’ Ianya satu perkembangan yg bagus buat arena futsal di Malaysia dimana persiapan pasukan utk menghadapi LFK. Perlawanan ini juga berpeluang untuk menambah baik teknik dan taktikal bagi setiap pasukan lebih terbuka dengan ada nya perlawanan seperti ini. Diharapkan lebih byk perlawanan persahabatan diadakan selepas ini.’’ Ujar beliau.
Selain dari Perak Futsal menduduki tempat pertama pada edisi kali ini, Mohamad Affendi Bin Bonyamin yang merupakan antara peledak utama Perak Futsal turut terpilih selaku ‘’Pemain Terbaik Kejohanan’’ dan penjaga gol KPT IIUM Mustang, Muhammad Umar Shafiz Bin Samsuri pula memenangi anugerah “Pemain Harapan Kejohanan”.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.