
Kebangkitan Epik Kuantan City Hiasi Pentas Final KPFL 2025
On February 11, 2025 by Al-Zaim ArzamanKuantan City melakukan kebangkitan penuh epik untuk menewaskan A’Project FT menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam masa penuh di pentas final Kuantan Premier Futsal League (KPFL) 2025.
Edisi sulung yang disertai oleh sepuluh pasukan itu sampai ke kemuncaknya pada Ahad lalu dengan pertembungan antara Kuantan City dan A’Project FT. Menariknya, kedua-dua pasukan diletakkan dalam kumpulan yang sama di peringkat kumpulan, Kumpulan B. Namun, kedua-duanya berjaya mara ke pentas final untuk merebut kejuaraan.
Berlangsung di Sergio Aguero Arena, Semambu, Kuantan, kejohanan itu dilihat mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk setempat saban minggu. Malah, penganjur turut menampilkan penyerang skuad kebangsaan, Sergio Aguero sebagai tetamu istimewa pada perlawanan minggu ke-2 sebagai daya penarik untuk melonjak kehadiran penyokong.
Sebelum pentas final lagi, kejohanan ini menampilkan drama menarik apabila finalis, A’Project berjaya memintas kedudukan Kuantanostra pada minggu terakhir liga. Mereka mara ke semifinal hanya dipisahkan perbezaan gol.
Di peringkat semifinal, A’Project berhasil menewaskan juara Kumpulan A, SM FT dengan keputusan 4-3 dan membuat janji temu semula dengan juara Kumpulan B, Kuantan City di final selepas pasukan itu menang 4-3 ke atas REVO FC.
Pada satu ketika, Kuantan City seolah-olah sudah menyerahkan trofi kejuaraan kepada lawan apabila ketinggalan 0-3.
Ia sedikit berbeza dengan skrip ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan apabila Kuantan City mudah mengatasi A’Project 2-1. Ketinggalan 0-3 seperti memberi gambaran yang malam itu akan jadi milik penuh A’Project.
Drama menarik bermula apabila pasukan itu bangkit mengejar dan mengikat kedudukan 3-3, seterusnya mendahului perlawanan 4-3. A’Project yang terkenal dengan semangat kental berhasil meledak gol ke-4 untuk mengikat kedudukan.
Namun, tuah lebih memihak kepada Kuantan City apabila berjaya menundukkan A’Project dalam penentuan sepakan penalti, seterusnya menjulang kejuaraan KPFL 2025 dan membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 berserta trofi.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.