
Addli Umum Persaraan Di Usia 35 Tahun, Intai Kerjaya Kejurulatihan
On January 4, 2025 by Al-Zaim ArzamanSelepas 16 tahun mengabdikan diri dalam futsal, bekas pemain skuad kebangsaan yang musim lalu beraksi bersama Sabah dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), Muhammad Addli Che Husin akhirnya mengumumkan persaraannya.
Memulakan kariernya bersama skuad SUKMA Selangor pada tahun 2010. Addli akhirnya berjaya mengharungi 16 tahun perjalanan dalam dunia futsal bersama hampir 12 pasukan dan juga pernah menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Amat menyedihkan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang paling saya sayangi ini. Sukan yang saya telah beri komitmen selama bertahun-tahun,” titipnya di laman Instagramnya ketika mengumumkannya, semalam.
Tambah Addli, “Betapa istimewanya perasaan ini apabila saya dapat beraksi di tahap tertinggi futsal Malaysia selama hampir 16 tahun. Saya berasa amat bersyukur untuk setiap peluang yang telah diberikan kepada saya selama ini.“
Ketika ditanyakan Arena Futsal Malaysia tentang kenangan manisnya, ia adalah saat menerima panggilan pertiwi.




“Yang pertama adalah apabila Coach Marcelo Serpa pilih saya untuk menyarung jersi Malaysia bagi mengharungi Kejohanan AFC 2016 buat kali pertama untuk negara kita di Uzbekistan. Yang kedua, bersama Felda United yang dibimbing oleh Coach Addie Azwan pada tahun 2017, di mana kami berjaya raih nabi juara,” kenangnya.
Bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Setiap perjalanan hidup, pasti ada pahitnya jua.
“Kenangan paling pahit dalam futsal bagi saya adalah pada tahun 2012, waktu bersama PBSMM Melayu Malaysia kerana waktu itu kami seluruh pasukan berlatih dan main tanpa gaji. Saya dan rakan-rakan teruskan juga atas dasar minat dan mahu membuat nama untuk pergi jauh. Setiap minggu kami hanya membuat latihan kecergasaan di Taman Tasik Datuk Keramat sebab pasukan tiada duit untuk buat latihan di gelanggang futsal,” ceritanya lanjut.
Beliau yang ketika ini bekerja sebagai ejen Insurans PruBSN sedang melihat kepada kemungkinan menyertai bidang kejurulatihan di masa depan. Minatnya yang mendalam terhadap futsal mungkin membawanya menyertai akademi futsal atau bersama mana-mana pasukan dalam Liga IPT. “Saya belum buat keputusan lagi tentangnya” ujarnya.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.