Pembaca dan pengikut tegar futsal sudah pasti sangat mengenali sosok pemain yang pernah dan masih menyarung jersi futsal negara seperti Muhammad Fariq Mohammad, Khairul Effendy Bahrain, Mohd Farid Yusof dan Qaiser Hesham.
Terdapat satu persamaan di antara empat pemain itu iaitu mereka dilahirkan oleh sebuah kelab futsal amatur yang berpangkalan di Subang Jaya, Selangor iaitu Red Galacticos atau lebih dikenali sebagai RG. Tertubuh pada tahun 2004, pasukan yang sudah berusia dua dekad ini baru sahaja menyambut ulang tahun ke-20 pada 21 Disember lalu.
Mereka masih dengan misi yang sama, melahirkan bakat-bakat baru futsal yang boleh dijadikan sandaran skuad kebangsaan di masa depan. Majoriti pemain RG berusia di bawah 23 tahun dan bermula sejak dari bangku sekolah.

Minat mendalam Kevin Yee dalam sukan futsal menyaksikan RG tertubuh kira-kira 20 tahun lalu. Dan ternyata, ia berbaloi kerana sehingga kini kelab ini masih relevan dan terus-menerus menjadi kilang mengeluarkan pemain futsal di Selangor.
Bukti betapa Kevin Yee amat menyayangi kelabnya dalam dilihat menerusi kegigihannya bersama mereka dan boleh juga dilihat menerusi muat naik posting ini di laman Instagramnya. “My baby @redgalacticos is 20 years old and it has been a great futsal journey together. Here’s to many more years to come,” titipnya di laman sosialnya itu, minggu lalu.
RG umpama keluarga kedua buat dirinya dan beliau sudah dua dekad mengabdikan diri kepada futsal dan kelabnya itu.



Mereka bukan lagi kelab kecil, tetapi kini sudah dikenali dan dihormati pasukan-pasukan di Lembah Klang khususnya.
Antara kejohanan yang sedang rancak mereka bersaing ketika ini adalah Liga Futsal Grassroot yang berlangsung di RKS Sport Centre, Petaling Jaya. Kejohanan ini melibatkan pemain-pemain muda, berusia bawah 12 tahun dan 15 tahun.
Adakah Kevin Yee akan berhenti dan berehat selepas dua dekad? Sudah tentu tidak jika tidak melihat mesej yang disampaikan menerusi ucapan ulang tahun RG. RG akan terus bernafas dan sekiranya pemiliknya memilih untuk berehat, legasinya sudah pasti akan diteruskan oleh pencinta futsal yang sudah bersamanya sekian lama.