39 Bakat Baharu Berjaya Dicungkil Di Edisi Sulung Liga Futsal Sabah
On January 1, 2025 by Al-Zaim ArzamanLiga Futsal Sabah yang julung kalinya dianjurkan telah berhasil mencungkil sekurang-kurangnya 39 bakat baharu untuk diketengahkan ke dalam skuad Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) Sabah pada musim-musim yang mendatang.
Ia bukan jumlah yang sedikit apabila seramai itu pemain berjaya disenaraikan daripada liga yang masih baru dan kecil.
Ini mungkin satu-satunya liga futsal yang dianjurkan secara rasmi oleh persatuan bola sepak negeri. Ia juga adalah atas kesedaran betapa pembangunan futsal di negeri tersebut yang tampak sedikit ketinggalan berbanding di negeri lain.
Edisi pertama kejohanan ini telah disertai oleh lapan pasukan dan ia telah menutup tirainya pada hujung minggu lalu.
Lapan pasukan tersebut adalah AR Gang yang telah muncul sebagai juara kejohanan, TMC x UH, Sainbara, Total x Inara, Bossbundle, UH20, Old KK x Milas dan Emossi FT. Daripada lapan pasukan ini, 39 pemain baharu telah dikenalpasti.
AR Gang tidak hanya membawa pulang trofi kejuaraan, malah turut menuai ganjaran wang tunai berjumlah RM10,000.
TMC x UH selaku naib juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, diikuti Sainbara di kedudukan ketiga yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500. Tempat keempat juga turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila Total x Inara berhasil membawa pulang RM1,200. Juara hingga tempat ke-4 turut diberikan trofi dan pingat.
Liga ini dianjurkan sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) selepas menilai prestasi para pemain di MPFL dan SUKMA. Menurut Timbalan Pengerusinya, Ir. Mohd Arzahri Abd Rahman, mereka menggalas tanggungjawab berat dalam usaha untuk membangunkan futsal di Sabah hingga ke akar umbi.
“Antara tujuan utama Liga Futsal Sabah ini dilaksanakan adalah untuk menggilap semula bakat-bakat yang sedia ada selain mencungkil bakat baru untuk diketengahkan di dalam skuad MPFL pada tahun yang akan datang,” jelasnya.
“Terdapat seramai 30 orang pemain ‘senior’ termasuk sembilan orang pemain bawah 19 tahun telah dikenalpasti bagi peringkat penilaian seterusnya,” tambahnya sambil meletakkan harapan tinggi untuk melihat 10 pemain daripada 39 pemain ini akan berjaya diserap masuk ke skuad Sabah yang menamatkan musim lalu di kedudukan kelima.
“Kita [harap] dapat mengetengahkan sekurang-kurangnya sepuluh orang anak jati negeri di dalam skuad MPFL yang akan datang,” ujarnya yang merupakan antara tulang belakang penting dalam merealisasikan kejohanan tersebut.
Ini kerana, dana bagi penganjuran liga ini adalah sepenuhnya datang daripada sumbangan Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Negeri Sabah terutamanya daripada Pengerusinya, Muhammad Rafiuddin Gulistan.
Menurut Arzahari lagi, antara tujuan liga ini diwujudkan selain daripada memburu permata baharu futsal negeri, ia juga adalah untuk menyemarakan semula minat futsal dikalangan rakyat Sabah disamping memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih tempatan untuk bergiat aktif serta menambah ilmu pengetahuan terkini mengenai futsal.
Ia pentas terbaik buat mereka bagi merasai kejohanan sebenar dan ia merupakan pentas tertinggi di negeri Sabah.
“Program seterusnya adalah untuk menilai semula bakat-bakat yang dikenalpasti tersebut di dalam proses pemilihan fasa 2,” ujarnya ketika ditanya oleh Arena Futsal Malaysia mengenai perancangan terhadap 39 pemain tersebut.
Adakah kejohanan ini akan berlangsung lagi untuk tahun hadapan? “Mengambil kira secara kolektif Liga Futsal Sabah ini telah mencapai objektif pada musim pertama, edisi kedua akan di teruskan di tahun yang akan datang,” jelasnya.
Jadi, rakyat Sabah wajar tidak melepaskan peluang ini. Ikuti segera laman Facebook, KK Futsal League secara dekat.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.