
Impian Menyarung Jersi Kebangsaan
On August 17, 2015 by Wak FaizalMemiliki kelebihan rembatan yang padu serta kemahiran mengawal bola dengan baik menjadi kelebihan buat pemain muda dari pasukan Perak, Nur Haniza Binti Saarani. Adik kepada bekas penyerang bolasepak kebangsaan yang kini menabur bakti bersama Kelantan iaitu Ahmad Fakri Saarani ini merupakan salah seorang tonggak buat pasukan Perak di saingan Liga Futsal Kebangsaan ( LFK ) 2015.
Gadis berusia 19 tahun ini mula terlibat dalam sukan futsal sekitar tahun 2011 walaupun pada mulanya mendapat tentangan dari keluarganya. Namun, melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh pemain yang mesra dengan panggilan ‘’Jaja’’ ini memberikan sepenuh sokongan atas penglibatan beliau dalam lapangan futsal ini.
Penampilan pertama penjaring 9 gol di LFK 2015 ini adalah membawa cabaran Perak di saingan Sukan Malaysia ( SUKMA ) 2011 di Kuala Lumpur dimana Perak telah berjaya mengejutkan banyak pihak apabila sebagai sebuah pasukan yang tidak diberi sebarang perhatian telah berjaya mendapat tempat ke-4 pada kejohanan tersebut.
Kejohanan tersebut juga telah memberikan peluang kepada Jaja untuk terus mengembangkan bakat dalam futsal apabila dipanggil untuk latihan pusat skuad wanita negara ketika itu.
Pemain berjersi 13 ini menjadikan bapa dan abangnya sebagai idola kerana dua individu ini sering memberikan nasihat serta perangsang kepadanya selain dari ahli keluarga yang lain.
Ahmad Fakri Saarani turut seringkali mengingati bahawa pentingnya bagi seseorang ahli sukan itu menjaga disiplin jika ingin berjaya.
Selain dari memperolehi tempat ke-4 dalam SUKMA 2011, kejayaan menewaskan MPSJ Selangor pada perlawanan liga musim ini turut akan diingati oleh Jaja kerana dirinya sendiri menjaringkan hatrik bagi Perak menewaskan salah sebuah pasukan gergasi di Malaysia itu.
Namun kecederaan lutut yang dialami ketika Kelayakan Liga Futsal Kebangsaan musim ini merupakan kenangan terburuk yang dalam karier Nur Haniza.’’Saya hanya dapat bermain satu perlawanan sahaja pada pusingan tersebut, namun Alhamdulillah kerana Perak layak ke LFK musim ini’’ ujarnya lagi.
Aksinya di LFK 2015 telah membuatkan jurulatih skuad wanita negara untuk menyenaraikan nama Jaja untuk 20 pemain yang terpilih untuk latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula 17 hingga 22 Ogos ini.
Mengulas mengenai pemilihannya bagi latihan pusat kali ini, beliau mengakui terkejut dan bangga dengan pemilihan yang diumumkan.
‘’Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik bagi menjadi salah seorang pemain yang akan menggalas tanggungjawab negara di Kejohanan AFC Wanita di Nilai nanti’’. Ujar beliau menamatkan bicaranya.
Selamat maju jaya diucapkan.
Artikel Oleh : Meor AFM
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.