
Murilo vs Isayas, Siapa Lebih Tajam Dalam Aksi Sulung?
On February 17, 2024 by Al-Zaim ArzamanMurilo Saad dan Isayas Figueredo, kedua-duanya bakal turun buat kali pertama di pentas Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), petang ini.
Pahang Rangers akan berkunjung ke KSN Panasonic, Shah Alam, menentang Shah Alam City dalam aksi sulung Divisyen 1, MPFL 2024.
Murilo diterbangkan Pahang Rangers dari kelab elit Amerika Selatan, Carlos Barbosa sebagai pengganti kepada Sergio Jamur dengan reputasi yang sangat baik. Malah, beliau baru sahaja dinobat sebagai pemain terbaik di pentas final Liga Gaucha de Futsal 2023.
Sebagai pemain yang pernah mewakili negaranya, Murilo sesuai digambarkan sebagai pencetak gol sejati dan memiliki skil berkelas dunia.
Untuk rekod, bersama Brazil, beliau pernah menjulang trofi Copa America Futsal 2011 apabila berjaya menewaskan Argentina 5-1 di final.
Selain itu, beliau juga pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Amerika Selatan iaitu Corinthians, Atlantico dan Joinville.
Bersama dua kelab gergasi Amerika Selatan, Corinthians dan Carlos Barbosa, beliau telah mencetak 47 jaringan dalam 137 penampilan.
Tambah menarik, beliau hadir ke Kuantan selepas membayar pampasan menamatkan kontrak lebih awal bersama Carlos Barbosa tempohari. Ada sesuatu mahu dicapainya bersama Pahang Rangers tatkala sanggup membayar pampasan kontrak dua tahunnya.
Isayas pula merupakan pemain import Shah Alam City yang hadir bagi menampilkan kemampuannya di MPFL pada musim baharu ini.
Shah Alam City baru sahaja kehilangan pencetak gol sejati mereka kepada Selangor, Well Pereira yang musim lalu meledak 15 gol di saingan liga dan empat gol di Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023. Ini menyebabkan kudratnya ‘dipinang’ skuad elit seperti Selangor.
Namun, disebalik meratapi kehilangan tersebut, mereka mampu merekrut Isayas yang merupakan peledak sejati di Liga Parana di Brazil. Musim lalu, bersama skuad futsal Operario Laranjeiras, beliau berhasil melakar 17 jaringan, membuktikan sentuhan pemusnahnya.
Selain itu, beliau juga pernah berkelana ke Tubarao Futsal di Liga LNF dan pernah bermain di Russia bermain untuk MFC Rostov.
Shah Alam City dan Pahang Rangers akan bertemu dalam aksi yang berlangsung jam 5.00 petang ini. Siapa lebih tajam, Murilo atau Isayas?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.