JDT ‘Teropong’ Bakat Muda Secara Dekat
On May 30, 2024 by Al-Zaim ArzamanSkuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berpeluang untuk memantau bakat-bakat muda futsal tanah air apabila akan bekerjasama menganjurkan pertandingan futsal bawah 21 tahun yang dikenali sebagai Johor Futsal Invitation Cup 2024 pada 5 hingga 9 Jun depan.
Ia juga boleh dianggap sebagai pentas persediaan buat pasukan-pasukan terlibat menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak nanti.
Lapan pasukan bakal menyertai pertandingan itu iaitu Johor, Johor Bahru, UTHM, Sabah, Sarawak, Perlis, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurut makluman yang dimuat naik di akaun Facebook Johor Football Development Program itu, pertandingan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor dengan kerjasama JDT, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Berlangsung selama lima hari, pertandingan akan berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang yang juga gelanggang rasmi JDT.
Dengan mengetengahkan pemain berusia bawah 21 tahun, pastinya aksi mereka bakal dipantau secara dekat oleh barisan kejurulatihan JDT – satu peluang yang jarang didapati dan perlu diambil sebaiknya oleh pemain yang terpilih mewakili pasukan masing-masing nanti.
Skuad JDT yang sedang beraksi di Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) ketika ini hanya memiliki dua pemain berusia bawah 21 tahun. Mungkin ini peluang terbaik untuk mereka menambah koleksi pemain muda bagi kelangsungan pasukan di masa depan.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.