Australia “Tunggu” Skuad Negara Di Separuh Akhir

Skuad negara menepati sasaran awal apabila mengesahkan pertemuan separuh akhir menentang Australia rabu ini apabila berjaya menewaskan Singapura dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A.

Kejayaan ini juga sekaligus membawa skuad negara untuk layak beraksi di Kejuaraan Futsal AFC yang akan berlangsung pada 10 hingga 21 Februari 2016 di Uzbekistan.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Singapura, pemain ternyata menggunakan kelebihan kualiti yang dimiliki apabila mengawal dengan baik keseluruhan babak pertama. Namun, bahagian serangan dilihat kurang mempamerkan ketajaman apabila hanya jaringan dari Muhammad Akmal Yazadh Amri memisahkan kedua-dua pasukan pada babak pertama. Singapura juga seringkali melakukan serangan balas pantas namun Azrul Hadee Mohd Taufiq kebal bertahan di gawang negara.

Masuk babak kedua pemain negara terus melebarkan penguasaan bola namun peluang yang dicipta masih gagal diterjemahkan kepada gol sehingga Syed Aizad Daniel memberikan jaringan kedua dan seterusnya memberikan tonik berguna buat skuad negara dalam usaha menambah jaringan.

Usaha berterusan pemain negara berhasil apabila Saiful Nizam Mohamad Ali menghasilkan jaringan yang terbias kepada 2 orang pemain Singapura dan Saiful Aula Ahmad dan Ahmad Fawzul Hadzir menutup jaringan negara bagi memberikan kemenangan 5 gol tanpa balas.

Kejayaan layak ke separuh akhir pasti menggembirakan para peminat futsal di tanah air yang setia memberikan sokongan tak berbelah bahagi terhadap pasukan ini. Walaupun lawan yang bakal ditentang rabu nanti merupakan sebuah pasukan yang baik namun skuad negara sudah pasti akan menampilkan semangat perjuangan tanpa batasan untuk terus menggembirakan para peminat.

Muhammad Fitri Yatim yang mengetuai cabaran negara pada perlawanan petang tadi beranggapan kejayaan layak ke separuh akhir tersebut adalah hasil doa rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan. ” Alhamdulillah dengan doa peminat futsal di Malaysia akhirnya kami layak ke separuh akhir setelah sekian lama skuad negara tidak penah layak ke tahap ini.. Ini adalah satu kebangkitan dan juga semangat untuk kami bermain pada rabu nanti”, kata beliau.

“Perlawanan tadi kami bermain perlahan dibabak pertama walaubagaimanapun kami berjaya menguasi keseluruhan permainan dimana pada babak kedua kami mula mengatur serangan demi serangan untuk mencari gol akhirnya kami berjaya juga menjaringkan walaupun agak lambat menemui sentuhan”, tambah Fitri lagi.

Fitri juga mengharapkan agar peminat futsal di tanah air terus mendoakan agar para pemain dapat meneruskan kecermelangan di separuh akhir nanti.

Artikel : Wak Meor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top