Tahukah Anda, Faisal Halim Mula Dikenali Dengan Futsal?
On November 28, 2023 by Al-Zaim ArzamanBintang sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim tentunya amat dikenali dengan kelincahan dan gaya geleceknya yang memukau tetapi tahukah anda yang beliau mula dikenali tatkala bermain futsal dalam satu kejohanan di Pulau Pinang? Ini sedikit kisah mengenainya.
Bakatnya mula dihidu ketika di bangku sekolah rendah, tetapi bukanlah dalam sukan bola sepak tetapi di arena futsal terlebih dahulu.
Beliau pernah dikatakan akan gagal untuk menjadi pemain profesional dek kerana fizikalnya yang kecil dan rendah. Namun, itu tidak menghalang dirinya untuk mencuba nasib dalam bola sepak disamping beberapa sukan lain antaranya sepak takraw dan futsal.
Malah, beliau mewakili Pulau Pinang untuk pertandingan sepak takraw di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Berkongsi kepada penulis, pengulas sukan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zachki Ahmad Suri berkata yang warga Pulau Pinang terutamanya di Seberang Jaya pernah dikejutkan dengan kemunculan pemain berbakat di pentas futsal dalam satu pertandingan.
“Ada orang ‘call’ mintak saya turun Safira, tengok ada sorang budak ni baguih, masa tu dia darjah enam. Dia main futsal di Safira, tahun 2010 rasanya. Memang baguih. Dok tertanya-tanya, mai mana budak ni. Depa habaq budak Mengkuang,” cerita Zachki mengenainya.
Safira Sport Planet, Seberang Jaya sememangnya menjadi lokasi kepada pelbagai pertandingan futsal di Pulau Pinang sejak era 90-an lagi.
Jadi, jika terdapat pertandingan futsal, ia menjadi tumpuan warga sekitar untuk turun menyaksikan bakat-bakat tempatan mempamerkan kebolehan dan kemampuan masing-masing. Dan di sinilah, mereka menjadi saksi kemunculan Faisal yang baru berusia 12 tahun.
“Daripada kecik tengok [Faisal], dia memang ada potensi. Masa tu dia dah ‘outstanding’. Masa main di Safira, semua mai nak tengok dia,” katanya.
Kini, Faisal sudah bergelar pemain regular Harimau Malaya. Namanya semakin melonjak tatkala beraksi bersama Terengganu selama dua musim seterusnya mengorak langkah mewarnai kancah bola sepak antarabangsa bersama seorang lagi bintang, Arif Aiman Hanapi.
Anak jati Mengkuang Titi itu kini merupakan aset penting buat negara dan pengendali, Kim Pan-gon menuju ke pentas Piala Asia 2023.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.