SS FIVE FC Ungguli Shah Alam City U-18 Invitation Cup
On November 28, 2023 by Al-Zaim ArzamanWakil dari Johor, SS Five FC menjuarai kejohanan jemputan Shah Alam City U-18 Invitation Cup 2023 yang berlangsung di Dewan Akasia U12, Shah Alam pada 25 November lalu selepas menundukkan wakil dari Selangor, FOP FC menerusi penentuan sepakan penalti.
Kejohanan yang melibatkan pemain berusia bawah 18 tahun itu menyaksikan penyertaan sebanyak 12 pasukan yang telah dijemput oleh pihak penganjur, Shah Alam City yang merupakan sebuah kelab yang sedang bersaing di pentas Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL).
Mungkin kejohanan ini serampang dua mata yang digunakan oleh kelab ini bagi melihat bakat-bakat baharu futsal untuk diketengahkan.
Dengan saingan MPFL dijangka bakal berlangsung selewatnya Februari depan, Shah Alam City pasti giat mempersiapkan skuad mereka.
Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 bersama trofi kepada juara kejohanan itu telah ditaja oleh DMensi Legacy dan Ortuseight selain turut mendapat kerjasama daripada MPP 4, Physio Arena dan ProjekSports serta Arena Futsal sebagai media rasmi.
Untuk aksi final, SS FIVE FC diikat tanpa jaringan oleh FOP FC dalam waktu sebenar sebelum dilanjutkan ke penentuan penalti untuk mereka meraih kejuaraan. FOP FC pula terpaksa berpuas hati untuk meraih gelaran naib juara dan membawa pulang RM500 bersama trofi.
Dua pasukan berkongsi kedudukan ke-3 iaitu Pawana Futsal dan Fussa Futsal Club membawa pulang barangan tajaan Dmensi Legacy.
Biarpun gagal muncul juara, FOP FC tentunya berbangga apabila jurulatih mereka, Badrul Hisyam Zahari diangkat sebagai jurulatih pilihan bersama Saddam daripada Pawana Futsal. Pemain mereka, Muhammad Khairul Haikal Zakaria pula dipilih sebagai pemain terbaik.
Untuk kategori Goleiro terbaik, Muhammad Azim daripada SS FIVE FC telah dipilih sebagai pemenang.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.