
Pengurus Sabah: “Ikuti Rapat Prestasi Zulhairi, Kairul Sukri”
On March 12, 2025 by Al-Zaim ArzamanSabah merakam kemenangan pertama dalam aksi pembuka tirai Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025 apabila menundukkan TOT United dengan keputusan 2-0. Gol Sabah dijaringkan oleh Vitor da Silva dan Zulhairi Haris.
Zulhairi Haris adalah antara nama yang dilontarkan oleh pihak pengurusan Sabah ketika ditanyakan pemain-pemain yang perlu diberi perhatian musim ini dalam pasukan selain Kairul Sukri. “Kedua-dua pemain ini mempunyai potensi besar dan dijangka memainkan peranan penting dalam skuad Sabah,” tutur pengurus, Ir. Mohd Arzahri Abd Rahman.
Sabah boleh dianggap pasukan segar kerana difahamkan, hampir 70% pemain adalah daripada Sabah Futsal League yang dianjurkan pada hujung tahun lalu. Ketika itu, seramai 39 pemain telah disenarai pendek untuk diserap ke pasukan.
Seramai 30 pemain senior dan sembilan pemain bawah 19 tahun telah dikenalpasti untuk dinilai dalam fasa penilaian.
Daripada senarai tersebut, Arena Futsal Malaysia dimaklumkan hampir 10 pemain merupakan pemain yang kali pertama merasai debaran beraksi di pentas MPFL. Baki 14 pemain lagi merupakan pemain sedia ada selain pernah beraksi di MPFL ataupun mewakili Sabah di SUKMA serta dua pemain import, Vitor da Silva dan Igor Paulo Silva.
Tambah Arzahri lagi, “Harapan terhadap skuad Sabah dalam MPFL kali ini sangat tinggi, meskipun ramai pemain masih baharu. Keutamaan adalah untuk memastikan pasukan dapat bermain dengan konsisten sepanjang musim, membina keserasian dalam kalangan pemain, serta memperbaiki aspek taktikal dan fizikal dalam setiap perlawanan dilalui.“
“Kemenangan pertama semalam (Sabtu) sememangnya memberi lonjakan semangat kepada pasukan Sabah, terutamanya dengan majoriti pemain yang masih baharu dalam MPFL. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri pemain, tetapi juga membuktikan bahawa mereka mampu untuk bersaing di peringkat ini,” ungkapnya lanjut.
Beliau juga berharap para pemain dan pasukan ini mampu melakukan kejutan dan ia mungkin mampu direalisasikan dengan panduan dan tunjuk ajar daripada jurulatih serta sokongan terus-menerus daripada para penyokong.
Sabah akan turun berdepan Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu ini untuk aksi kedua liga.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.