yazid kamaruzuan malaysia

Pemain Ini Bakal Jadi Azimat Penting Buat Kedah

Bintang skuad kebangsaan, Yazid Kamaruzuan telah ditampilkan sebagai pemain baharu Kedah untuk musim 2025.

Kedah meraih promosi ke Divisyen 1, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 selepas menamatkan musim lalu di kedudukan naib juara. Kejayaan mara ke pentas utama ini pastinya suatu kebanggaan yang mahu dipertahankan.

Penyertaan pemain berpengalaman seperti Yazid pastinya memberikan impak yang baik kepada jentera serangan pasukan nanti. “Ketajaman penyudah, kepimpinan di atas gelanggang serta keupayaannya mencuri peluang dalam permainan ‘Power Play’ menjadikannya aset penting dalam misi pasukan musim ini,” titip laman sosial pasukan Kedah.

Mereka mengharapkan Ala berkaki kidal ini menjadi azimat penting buat pasukan dalam usaha mereka memberikan dimensi baharu di jentera depan pasukan. Dengan mengekalkan penjaring terbanyak musim lalu, Nattawat Luksanato dan penyertaan fixo, Cesar Shammir Olmedo Ayala, Kedah telah mengukuhkan posisi depan dan belakang pasukan.

Mereka juga menambah beberapa pemain berpengalaman, antaranya dua Goleiro yang bermain bersama Shah Alam City musim lalu, Syahman Idris dan Nurluqman Zaini, dua pemain Gombak TOT, Syarifuddin dan Hafizi Marzuki, Hafiz Md Desa, Mukhlis Ihsan serta Nur Luqman yang diterbangkan daripada skuad juara Divisyen 2 musim lalu, Kelantan.

Untuk pemain tempatan, setakat ini mereka telah mengumumkan kontrak baharu buat Fixo dan Ala iaitu Shamsuri Saleh. Selain itu, tiga kouta pemain berusia bawah 19 tahun yang menjadi syarat untuk musim ini telah diisi bekas Goleiro ATM, Khairyl Muhaimeen, bekas pertahanan skuad belia KDA, Syahrul Hakimi serta Iman Zakry yang akan beraksi posisi Ala.

Melihatkan senarai yang diumumkan setakat ini, diyakini Yazid akan menjadi pemain penting untuk Kedah. Pengalaman dan pengaruhnya bakal menjadi azimat buat mereka dalam membentuk skuad yang bakal bersaing di Divisyen 1 kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top