Mustangs Bangkit Teruskan Rentak Kemenangan! (Rumusan Hari 1 Sirkit 4)
On February 5, 2022 by Wak Pivot4 perlawanan berlangsung di hari pertama sirkit ke-4 dan antara keputusan yang mencuri tumpuan adalah kemenangan KPT-PST Mustangs yang berjaya menewaskan PDRM dengan keputusan 3-1. Bukan satu perlawanan yang mudah untuk berdepan skuad kendalian Addie Azwan yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan KPT-PST Mustangs terlebih dahulu ketinggalan 0-1 seawal minit ke-8 perlawanan menerusi jaringan sendiri Alif Haiqal.
Semangat juang yang tinggi serta kepantasan pemain-pemain Mustangs ini menjadi kekuatan mereka untuk bangkit di separuh masa kedua bermula dengan jaringan penyamaan Haiqal Hasnor sebelum mereka memastikan 3 mata menjadi milik Mustangs dengan gol kedua dan ketiga hadir menerusi jaringan Iskandar Aliff dan Aidil Izwan.
Perlawanan pada sebelah pagi menyaksikan pertembungan yang boleh dikatakan Derbi Utara berlangsung dengan sengit sekali. Pulau Pinang dan Kedah berkongsi satu mata selepas perlawanan mereka berakhir dengan keputusan seri 5-5.
Seterusnya perlawanan antara Perak dan KL City. Perak yang hadir dengan barisan pemain baru ternyata masih sukar untuk mencari kemenangan pertama mereka selepas sekali lagi tewas dan kali ini ini dengan jaringan 2-5. Walaupun Perak cuba bangkit tapi hanya berjaya menjaringkan 2 gol saja daripada Bazli Che Saufi dan Khairi Abadi. Untuk KL City ini satu keputusan yang diperlukan selepas mereka kembali daripada kuarantin baru-baru ini dengan latihan yang kurang.
Di sebelah malam, Pahang Rangers menutup hari pertama sirkit ke-4 dengan kemenangan selesa ke atas Kuala Lumpur dengan jaringan 8-1. Tiada masalah untuk pasukan ini untuk mengawal permainan dan menghalang asakan Kuala Lumpur malah Pahang Rangers berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama daripada Ridzwan Bakri.
Kemenangan besar ini meletakkan mereka memintas Selangor MAC untuk berada di puncak liga dengan 13 mata. Pahang Rangers satu-satunya pasukan yang masih belum tewas setakat ini.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.