JDT Pahang Rangers MPFL 2025

Luis Fonseca: “Sukar Untuk Menang Jika Begini”

Walaupun berjaya menang ke atas Pahang Rangers, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diberikan jalan mudah untuknya.

JDT berhasil menang tipis 4-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pasir Gudang dengan Pahang Rangers cuba bangkit di penghujung perlawanan, namun gagal menjelmakan waima satu mata di tempat lawan.

Perlawanan berlangsung sengit dan penuh emosi dengan kedua-dua pasukan ini saling mengikat kedudukan sebelum Saad Sani meledak jaringan ke-4 tuan rumah untuk membolehkan JDT mendahului aksi dengan kedudukan 4-2.

Sebelum itu, JDT berjaya mendahului perlawanan seawal minit pertama menerusi Goleiro, Azrul Hadee Mohd Taufiq yang dilihat pada awalnya cuba membuat hantaran jarak jauh, tetapi telah memperdaya Goleiro lawan, Zainulzahin Sinuan.

Felipe de Souza menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17 sebelum Bruno Taffy meletak JDT kembali di depan, kurang seminit kemudian. Harith Naim kembali memberikan nyawa buat pelawat apabila mengikat semula kedudukan 2-2 pada minit ke-18. JDT tidak menunggu lama apabila sekali lagi Bruno Taffy meledak gol ke-3, seminit kemudian.

Enam minit menuju ke wisel penamat, Saad Sani menjaringkan gol ke-4 JDT, sebelum jaringan Harith Naim di minit ke-35 membantu Pahang Rangers untuk sekurang-kurangnya mengurangkan defisit gol atas kekalahan pertama mereka itu.

Sementara itu, pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca tampak amat berang dengan keputusan pengadil apabila melayangkan kad merah kepada pemainnya, Matheus Moura. “Sukar untuk menang jika pengadil tidak bagus, teruk dan tidak menghormati pasukan kami,” memetik kenyataannya kepada Harimau Malaya sejurus perlawanan berakhir.

Matheus Moura yang melakar hatrik minggu lalu dilayangkan kad merah pada minit ke-19 dan menurut Fonseca, ia sedikit sebanyak telah mengganggu aksi mereka. Begitupun, beliau dilihat sedikit terkedu saat dipersoalkan, kenapa pasukannya tidak mengambil peluang mencetak gol ketika pemain JDT dilayangkan kad merah pada minit ke-12.

Pemain kami kelihatan gugup dengan situasi tersebut tetapi itu normal,” ungkapnya yang dilihat kembali tenang.

Liga akan berehat panjang untuk memberi ruang sambutan Hari Raya Aidilfitri serta panggilan kem latihan skuad kebangsaan yang akan berlangsung pada 7 hingga 16 April dan akan kembali bersambung pada 19 April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top