JDT Dihukum Dek Kerana Karenah Penyokong
On November 21, 2023 by Al-Zaim ArzamanDalam keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-14 bagi penggal 2021-2025, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dihukum berikutan sikap penyokong ketika saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 lalu.
Memetik kenyataan FAM yang dimuat naik di laman sesawang mereka lewat petang tadi, JDT dihukum kerana gagal mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan penyokong mereka mengejek, melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya telah mengerumuni, mengejar dan menyerang penyokong pihak lawan sebelum sempat mereka menaiki bas.
Atas sebab itu, FAM telah mengenakan denda sebanyak RM15,000 ke atas kesalahan tersebut dan turut diberikan amaran keras. Hukuman lebih berat menanti sekiranya perkara sebegitu berulang lagi dan kelab dibenarkan membuat rayuan atas denda yang dijatuhkan tersebut.
Pada 27 Mei lalu ketika pertembungan antara JDT dan juara bertahan, Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, tular sebuah rakaman amatur yang menyaksikan penyokong lawan telah diserang oleh sekumpulan penyokong tuan rumah selepas perlawanan.
Itu merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku di pentas saingan futsal tanah air.
Perlawanan berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1, tetapi nampaknya insiden di luar stadium yang lebih mencuri tumpuan.
Penyokong Selangor MAC mendakwa telah diserang oleh penyokong lawan. Turut menjadi mangsa dalam kejadian itu adalah kanak-kanak dan kaum wanita.Laporan polis juga telah dibuat oleh mangsa.
Selain futsal, FAM turut membuat keputusan mengenai beberapa isu berkaitan bola sepak antaranya melibatkan pasukan Selangor. Untuk keputusan penuh mesyuarat tersebut, pembaca boleh melayari laman sesawang FAM di pautan ini.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.