
Tiada Lagi Kelantan Di MPFL, Juara Divisyen 2 Yang Akhirnya Berkubur
On January 6, 2025 by Al-Zaim ArzamanMenjulang trofi kejuaraan Divisyen 2, Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2024 seterusnya layak beraksi di Divisyen 1 pada saingan musim 2025 tidak menjamin yang Kelantan akan kekal dalam peta dan pentas saingan futsal negara.
Tatkala semua pasukan sedang bersiap siaga untuk berdepan musim baharu, Kelantan akhirnya akur mengundur diri.
Segala yang diraih pada musim ini hanya mampu bertahan seketika. Kelantan sah tidak akan menyertai MPFL 2025.
Pada awalnya terdapat khabar angin mengatakan juara edisi sulung Divisyen 2 itu bakal memilih untuk kekal di Divisyen 2 waima layak ke saingan utama. Hanya naib juara, Kedah dikatakan bersedia menerima pelawaan naik pangkat.
Namun, hasil risikan Arena Futsal Malaysia kepada pihak pengurusan pasukan akhirnya mendapat perkhabaran duka.


“Kelantan menarik diri dan tidak akan menyertai MPFL 2025,” ujar pengurus, Wan Muhammad Firdaus Wan Juhari.
“Ini adalah disebabkan bajet pasukan tidak cukup untuk bersaing bersama pasukan-pasukan lain di Divisyen 1. Selain itu, Kelantan juga tiada gelanggang sendiri serta para pemain yang terikat dengan kerja masing-masing,” jelasnya.
Seperti yang semua sedia maklum, setiap pasukan di Divisyen 1 perlu memiliki gelanggang sendiri kerana terdapatnya format ‘home’ dan ‘away’. Jika mahu ‘meminjam’ gelanggang pasukan lain, sudah tentu ia melibatkan kos dan inilah kekangan utama skuad kendalian Muhammad Fadhil Yusof itu. Di mana mereka mahu mendapat dana yang besar?
Mereka telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan penajaan untuk musim akan datang, namun tidak berhasil.
Untuk musim 2024 di mana mereka meraih kejuaraan dengan hanya menggunakan kudrat pemain-pemain tempatan, dana perjalanan pasukan pada musim tersebut merupakan wang yang dikumpul daripada pihak pengurusan sendiri.


“Untuk Divisyen 2 sebelum ini, kita menggunakan dana sendiri, 100 peratus tanpa sebarang penajaan. Ia melibatkan kos lebih kurang RM200 ribu hingga RM300 ribu. Kami lewat mengesahkan penyertaan kerana menanti penajaan datang dan selepas penyertaan liga, kami akhirnya terpaksa keluar duit poket sendiri,” cerita Wan Muhammad Firdaus lagi.
Mungkin satu-satunya yang sudi menghulurkan tangan kepada mereka pada musim lalu adalah N10 Sport Centre yang turut menghantar hampir separuh pemain akademi mereka – berusia bawah 18 tahun, untuk berjuang bersama.
“Tiada siapa berminat untuk bersama Kelantan walaupun kita memiliki pemain-pemain yang mahu menyerlahkan bakat mereka,” ujarnya yang telah berusaha gigih mencari dana untuk merealisasikan impian ke divisyen utama.
Kisah ini seperti ulangan pada musim lalu yang menyaksikan Pulau Pinang yang saban musim beraksi baik tidak dapat menyertai Divisyen 1 akibat ketiadaan penajaan pasukan. Kini, giliran juara Divisyen 2, Kelantan pula dihimpit isu sama.
Untuk edisi sulung Divisyen 2, Kelantan muncul juara selepas melalui 11 perlawanan tanpa kalah dengan mengumpul 31 mata, 10 mata di depan Kedah yang meraih kedudukan naib juara. Kedua-dua pasukan layak ke Divisyen 1, musim 2025.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.