WOS: “Kami Yakin Ramai Pemain Baru Akan Menyerlah Dalam Liga Ini”
On December 4, 2024 by Al-Zaim ArzamanSetujukah anda, Liga ‘Haram’ adalah pentas terbaik pemain futsal amatur berbakat tonjolkan kemampuan mereka?
Liga ‘haram’ ataupun lebih tepat dipanggil liga amatur di kalangan pencinta futsal telah lama mewarnai arena futsal di peringkat bawahan tanpa penglibatan pihak berwajib dan dianjurkan hasil inisiatif individu atau sekumpulan peminat.
Selain itu, terdapat juga pusat futsal yang merealisasikan sendiri menganjurkan liga amatur di gelanggang mereka.
Ia sekaligus membantu pencinta futsal negara melempiaskan segala keinginan mereka untuk beraksi seperti pemain-pemain profesional. Dan adakalanya, di sinilah akan lahirnya bakat-bakat baru futsal tanah air untuk diketengahkan.
Seterusnya, terdapat juga kejohanan harian ataupun sirkit yang dianjurkan badan-badan swasta atau persendirian.
Badan bola sepak negeri dilihat masih belum timbul kesedaran untuk mewujudkan liga di peringkat negeri mereka.
Mungkin satu-satunya negeri yang memiliki liga mereka tersendiri ketika ini adalah Sabah yang baru sahaja bermula.
Di Pulau Pinang satu ketika dahulu terdapat liga amatur – Penang Futsal Super League (PFSL) yang berlangsung selama tujuh musim. Segalanya menemui noktah apabila gelanggang pertandingan, Safira Sports Planet akhirnya dirobohkan. Ia menjadi pentas lebih 20 pasukan amatur beraksi saban minggu sehingga ke Grand Final pada penghujung musim.
Hingga kini tapak tersebut hanya dipenuhi semak samun berbanding dahulunya menjadi pusat riadah anak muda.
Ini adalah satu contoh bagaimana pembangunan telah memusnahkan pertandingan futsal amatur yang sekurang-kurangnya membawa anak-anak muda menjauhi aktiviti-aktiviti tidak berfaedah dengan aktiviti sukan atau riadah.
Lembah pertandingan futsal tentunya di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Antara pertandingan liga amatur yang ada kini adalah WOS Saturday Night Fever yang sudah memasuki musim ketiga penganjurannya.
“Idea tercetus apabila tidak banyak liga yang dijalankan pada malam Sabtu. Kami ambil peluang ini untuk namakan liga ini “SATURDAY NIGHT FEVER” disebabkan kami anjurkan pada setiap hari Sabtu,” ujar penganjur, WOS League.
Terdapat lapan pasukan bertanding dan ia berlangsung selama tujuh minggu. Lima pasukan terbaik akan diberikan hadiah dengan juara akan membawa pulang hadiah bernilai RM2,300 bersama trofi dan pingat. Naib juara pula akan membawa pulang hadiah bernilai RM1,100, sementara tempat ketiga pula akan meraih hadiah bernilai RM600.
Untuk tempat ke-4, pasukan akan meraih hadiah bernilai RM400 dan tempat ke-5 akan membawa pulang RM150.
Tanpa penajaan tentunya sukar untuk sesebuah kejohanan. Untuk liga ini, WOS berkata, “Penaja yang bersama kami bagi menjayakan liga kali ini adalah penaja yang tidak asing lagi dalam arena futsal tanah air iaitu, FIGOS, manakala satu lagi penaja iaitu GORILLA MALAYSIA, sudah pun bersama WOS dalam pelbagai liga lagi yang kami anjurkan.“
WOS turut menganjurkan beberapa lagi liga antaranya Amateur Futsal League, WOS Divisyen 3, 4, 5A dan 5B.
Bagaimana WOS tarik minat penaja? Menurut mereka, apa yang boleh diberikan adalah sediakan iklan khas ketika siaran langsung perlawanan, ‘backdrop’ yang terdapat nama penaja dan lain-lain kaedah yang boleh diusahakan.
“Sememangnya impian kami mengadakan liga ini bagi menaikkan pemain-pemain baru yang mampu menggilap lagi bakat mereka. Oleh sebab itu, kami memilih “FIFA COURT” sebagai court rasmi bagi liga ini,” tambah WOS lanjut.
Inilah adalah satu kebaikan untuk penganjuran Saturday Night Fever apabila pemain akan beraksi di gelanggang ‘FIFA Court’. Adakalanya, untuk sesetengah kejohanan ataupun liga, ia akan dilangsungkan di gelanggang yang lebih kecil.
Ia pasti mengurangkan ‘feel’ beraksi di tahap sebenar sebagaimana pemain-pemain profesional lalui saban minggu.
Tambah menarik, mereka juga tidak melarang untuk pendaftaran pemain yang beraksi di Malaysia Premier Futsal League (MPFL). Namun, setiap pasukan hanya dibenarkan untuk mendaftarkan seorang pemain sebegitu sahaja.
“Hal ini bagi memastikan pemain-pemain baru dapat belajar sesuatu dari corak permainan mereka yang sudah berpengalaman. Tambahan lagi, semua pemain akan merasa peluang bermain apabila hanya ada seorang pemain MPFL Div 1 di dalam satu pasukan, sekiranya kami membuka kouta lebih daripada satu pemain, sudah pasti mereka yang baru tidak dapat peluang untuk bermain,” jelasnya apabila ditanya tentang idea untuk melahirkan bakat baru.
“Maka dengan perancangan ini, kami yakin ramai pemain baru yang akan menyerlah di dalam liga ini,” tambahnya.
Namun begitu, lumrah penganjuran apa pun kejohanan, pasti ada cabaran menanti. Apabila semua pasukan mengejar kejuaraan, ia melibatkan campur baur emosi. Sebagai penganjur, cabaran yang harus dilalui adalah mengawal situasi-situasi tersebut. “Sekadar perkongsian, di minggu pertama sudahpun berlakunya insiden yang tidak kami ingini.“
Begitupun, mereka meletak harapan tinggi untuk kejohanan ini iaitu, “Harapan kami, semoga liga ini berjalan lancar sehingga tamat, dan dapat melahirkan ramai pemain MPFL 2025 yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.”
Ini sebahagian kisah tentang liga ‘haram’ atau amatur anjuran WOS League. Pastinya di luar sana terdapat banyak lagi liga-liga sebegini yang menjadi tempat lahirnya bakat-bakat baru futsal. Apa kisah menarik liga di tempat anda?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.