Tiada Siapa Boleh Cabar JDT?
On January 26, 2025 by Al-Zaim ArzamanLapan pasukan sah akan bersaing di pentas Divisyen 1, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 antaranya juara berganda edisi lalu, Johor Darul Ta’zim(JDT), Selangor dan Pahang Rangers. Dua pasukan tiada dalam senarai iaitu Shah Alam City dan Terengganu dan akan digantikan oleh naib juara Divisyen 2, Kedah dan Malaysian University FT (MUFT).
Untuk edisi ini, JDT dijangka akan berada di kemuncak prestasi dan mengekalkan kejuaraan berganda yang diraihnya.
Ini adalah musim ketiga JDT berada di pentas MPFL dan tanpa melakukan rombakan besar selama tiga edisi, sudah tentu semua mahu melihat impak yang mampu dihadirkan mereka kali ini. Musim lalu, mereka tumbang hanya sekali dalam aksi Divisyen 1 dan menang baki 13 perlawanan. JDT tewas 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan minggu ke-10.
Biarpun tewas, mereka langsung tidak pernah turun dari takhta liga sejak dari minggu pertama hingga ke minggu ke-14.
Menjuarai Divisyen 1 dengan 39 mata, enam mata di depan Selangor, menjadikan lawan mereka itu adalah pencabar terdekat untuk musim ini. Mungkin satu-satunya pencabar apabila Pahang Rangers tampak jauh ditinggalkan – 11 mata.
Melihat kepada beberapa situasi ketika ini, Pahang Rangers mungkin dalam proses ‘regeneration’ antaranya dengan melepaskan pivot senior, Saiful Nizam dan Nazreen Saude selain membawa masuk Razin Rahim dari Shah Alam City.
Menurut perkhabaran dari Kuantan, pemain-pemain muda daripada skuad SUKMA Pahang juga akan diketengahkan disamping beberapa pemain SUKMA daripada Terengganu yang turut dikatakan menyertai kem Pahang Rangers.
Jadi, cabaran buat JDT mungkin hanyalah daripada Selangor? Pasukan di kedudukan ke-4, Shah Alam City sah menarik diri, sementara Sabah yang menduduki tangga ke-5 turut dikhabarkan akan melalui proses seperti Pahang Rangers.
Selangor sudah mengumumkan ketibaan Saiful Nizam dan Nazreen dari Pahang Rangers selain penyertaan Khairul Farhan dari Shah Alam City. Ketiga-tiga pemain menjadikan Selangor semakin mengukuhkan struktur pasukan.
Selain itu, mereka juga telah mengumumkan dua pemain import dari Brazil iaitu Evandro Borges dan Vitor Fernandes atau lebih dikenali sebagai Malcom. Malcom dikatakan tambah nilai berimpak tinggi dan terbaik buat mereka nanti.
Mampukah Selangor memberikan tentangan sengit buat JDT di musim pasukan tersebut dilihat semakin ampuh?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.