Harapan menggunung yang dinyalakan skuad negara untuk mencipta kejayaan di Kejuaraan Futsal AFC 2016 di Uzbekistan terhenti di peringkat kumpulan apabila gagal memenangi sebarang perlawanan. Malaysia yang diletakkan satu kumpulan bersama-sama Jepun, Australia dan Qatar menghuni tangga tercorot dalam saingan kumpulan D.
Bermula dengan aksi yang baik ketika perlawanan sulung menentang Australia, skuad negara berjaya mendahului lawan tersebut pada babak pertama. Namun, sedikit kealpaan pada babak kedua menyaksikan Australia berjaya menggunakan kesempatan diatas kelalaian tersebut bagi menjaringkan 2 gol untuk menewaskan skuad negara walaupun barisan pemain bimbingan Marcelo Serpa itu berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan
Dengan aksi menarik serta meyakinkan yang ditampilkan pada aksi sulung tersebut, cabaran seterusnya buat skuad negara adalah juara bertahan iaitu Jepun. Sudah pastinya pemain berada di dalam moral yang terbaik untuk menghadapi kuasa besar futsal dunia itu. Namun, langit tidak selalunya cerah apabila Jepun ternyata terlalu unggul buat skuad negara apabila menunjukkan falsafah futsal kelas dunia.
Ketinggalan 1-10 pada babak pertama ternyata sangat pedih untuk ditelan dan menjadikan pengajaran buat skuad negara untuk lebih memperkemaskan aksi pada babak kedua dengan hanya bolos satu jaringan pada separuh masa kedua bagi tamat perlawanan dengan Malaysia tewas 1-11.
Kekalahan itu jelas merentap semangat juang para pemain bagi menghadapi perlawanan terakhir peringkat kumpulan walaupun hanya sekadar pelengkap jadual. Aksi yang dilihat seperti dibawah keupayaan sebenar dipamerkan untuk ketinggalan 2-3 pada separuh masa pertama dan Qatar terus meninggalkan skuad negara untuk kemenangan 6-2 pada perlawanan tersebut.
Setelah cabaran skuad negara dinoktahkan pada peringkat kumpulan, pelbagai kecaman serta kritikan telah dilemparkan kepada barisan pemain yang menggalas tanggungjawab tersebut, Umum perlu mengetahu bahawa ketiga-tiga pasukan yang ditemui pada peringkat kumpulan itu mempunyai ranking yang lebih baik dari negara kita namun ia bukanlah alasan untuk mengalah dan para pemain sudah mengerah segala kudrat yang dimiliki demi membawa nama negara. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam skuad futsal negara pada kejohanan ini.
Pelbagai aspek perlu diperhalusi diatas perkara ini, kekalahan itu akan tetap terus menjadi kekalahan di masa hadapan sekiranya kita terus menuding jari terhadap satu sama lain. Pihak yang sepatutnya perlu memikirkan apa yang terjadi di Uzbekistan dan apa pembaharuan yang perlu dijadikan nilai tambah dalam pembangunan serta kegemilangan sukan futsal negara.
KREDIT FOTO : AFC