Tempat Keempat Buat Skuad Wanita Negara
On September 27, 2015 by Wak FaizalCabaran Malaysia pada saingan Kejohanan AFC Futsal Wanita 2015 dinoktahkan dengan pencapaian tempat ke-4 pada kejohanan edisi pertama ini. Selepas tewas ditangan Jepun dalam aksi separuh akhir semalam, skuad negara bertemu jiran tetangga iaitu Thailand pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Pertemuan menentang Thailand yang memenangi 3 pingat emas sepanjang sukan futsal dipertandingkan di Sukan Sea menyaksikan antara kelemahan ketara buat pemain negara adalah pemain kerapkali kehilangan fokus dan akhirnya menyaksikan jaringan mudah diperolehi lawan.
Kekentalan pemain Thailand bertahan juga mengakibatkan pemain negara sering kehilangan bola sewaktu ingin mencipta gerakan. Ternyata masih ada jurang antara kedua-dua pasukan.
Namun, tidak keterlaluan untuk memperkatakan sesuatu yang positif buat skuad negara. Seperti kebiasaan para pemain pasti memperlihatkan semangat juang tak henti-henti bagi terus mengasak pasukan lawan. Hal ini dibuktikan apabila mereka berjaya menjaringkan gol pendahuluan setelah berusaha untuk memecahkam kebuntuan.
Aksi yang ditampilkan oleh penjaga gol, Atiqa Zaifulizan pada perlawanan ini juga harus diberikan pujian kerana banyak percubaan lawan yang berjaya beliau nafikan bagi mengelakkan lawan terus menerus menambah jaringan.
Pengendali negara, Chiew Chun Yong menerima keputusan ini dengan terbuka dan mengakui negara-negara yang menewaskan skuad negara pada kejohanan ini mempunyai pelbagai kelebihan.
“Sejujurnya tiada siapa yang suka dengan kekalahan ini namun kita perlu akui mereka berada di kelas mereka tersendiri”, ujar beliau.
Tahniah diucapkan buat pengurusan, barisan kejurulatihan serta para pemain diatas pencapaian ini. Masih terdapat ruang untuk memperbaiki aksi pasukan bagi mengharungi saingan di peringkat benua dan dunia khasnya.
Foto : SukanMalaysia.my
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.