Skuad negara tampil pada aksi pertama bertemu Brunei dengan berperwatakan garang apabila mendominasi hampir keseluruhan masa perlawanan apabila tidak langsung memberikan ruang kepada Brunei untuk melakukan kejutan. Lawan yang melaungkan keyakinan untuk mara ke separuh akhir dikejutkan dengan jaringan awal Fawzul Hadzir yang merembat padu ke sebelah kiri gawang lawan pada saat ke-32 perlawanan.
Gol tersebut memberikan tonik buat para pemain negara untuk terus menambah jaringan apabila hantaran yang ingin dilakukan oleh Syed Aizad Daniel Syed Nasir kepada rakan pada minit ke-6 terbias kepada pemain lawan lalu menerjah masuk ke gawang sendiri pasukan Brunei.
Sedikit kelalaian pemain negara mengundang padah apabila bola yang dikuasai Khairul Effendy Bahrin berjaya dipatahkan oleh pemain Brunei ketika hanya Azrul Hadee Mohd Taufiq berkeseorangan di kawasan Malaysia dan mengakibatkan Brunei memperoleh gol pertama bagi merapatkan kedudukan.
Skuad negara terus menggandakan usaha bagi menambahkan jaringan dan akhirnya membuahkan hasil menerusi Fitri Yatim merembat padu hasil serangan susulan setelah rembatan Khairul Effendy Bahrin berjaya ditepis oleh penjaga gol Brunei yang merupakan pemain yang paling ‘sibuk’ pada perlawanan ini.
Fawzul Hadzir menambah jaringan peribadi beliau setelah dengan tenang menyudahkan hantaran kemas yang direncanakan oleh Yazad Amri bagi Malaysia mendahului Brunei 4-1 pada babak pertama.
Masuk babak kedua skuad negara terus menggandakan asakan bagi memburu jaringan dan usaha mereka semakin membuahkan hasil apabila menambah lagi 5 gol hasil jaringan Fawzul Hadzir yang berjaya meledak hatrik pada perlawanan ini serta satu gol dicetakkan oleh Saiful Nizam Mohamad Ali, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Akmarulnizam Mohd Idris dan gol sendiri dari pemain Brunei, Mohammad Awang Eisa bagi menamatkan saingan dengan Malaysia menumpaskan Brunei dengan 9 gol berbalas 1.
Aksi yang ditampilkan anak buah Marcelo Serpa Coelho menunjukkan pemain kelihatan begitu bersedia bagi menghadapi saingan kali ini dan diharapkan momentum kemenangan ini diteruskan bagi perlawanan kedua apabila dijadual akan bertemu kuasa besar futsal Asia yang juga pasukan tuan rumah, Thailand.
Penolong jurulatih negara, Addie Azwan Zainal yang dihubungi mengakui kini barisan kejurulatihan yang diketuai Marcelo Serpa begitu terkejut dengan perkembangan anak buah mereka ketika ini.
” Kami pening kepala nak memilih senarai 14 orang pemain bagi perlawanan menentang Thailand esok kerana semua pemain berada di moral yang baik dan semangat jitu yang ditunjukkan pada sesi latihan tadi”, ujar beliau.
” Kami juga turut mengharapkan perkara positif ini berkekalan hingga tamat saingan kejohanan ini”, tambah bekas tonggak futsal negara ini.
Artikel : Wak Meor
Foto : www aseanfootball.org