Skuad Futsal Negara Cari Pengalaman Di Qatar
On September 26, 2017 by FixoKetua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong mahu skuad kendaliannya tampil lebih serius untuk menghadapi Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2017 (AFF) di Vietnam bermula 23 Oktober depan.
Justeru, Chun Yong memberitahu, skuad negara bakal menghadapi satu persiapan menjelang misi di Qatar bagi mengharungi siri perlawanan persahabatan.
“Kami akan bertandang ke Qatar bermula 12 sehingga 16 Oktober depan. Jadi, saya optimis ia akan menjadi satu persiapan cukup bagus sebelum kita turun ke AFF 2017 di Vietnam nanti. Pada masa sama, saya mahu para pemain mempamerkan komitmen tinggi apabila beraksi di perlawanan persahabatan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Beliau percaya, perlawanan persahabatan di Qatar mampu memberi pendedahan terbaik buat skuad negara dalam misi layak sekurang-kurangnya separuh akhir AFF 2017.
“Kita menerima banyak jemputan daripada pasukan lain antaranya China dan Indonesia, tetapi saya memilih Qatar.
“Ini kerana saya mahu para pemain beraksi dengan pasukan yang mengamalkan corak pantas. Jadi, apabila menentang pasukan lebih baik, mereka perlu lebih bagus daripada pasukan lain,” ujarnya.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar dan Laos selepas Filipina serta Australia bertindak menarik diri.
Persaingan Kumpulan B melibatkan Thailand, Brunei, Indonesia dan pasukan tuan rumah, Vietnam, manakala Timor Leste turut bertindak menarik diri.
Pasukan futsal negara mempamerkan prestasi cemerlang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini biarpun tewas kepada juara bertahan, Thailand dalam aksi final di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, bulan lalu.
Pun begitu, Chun Yong tetap tidak berpuas hati dengan prestasi mereka dan mahu para pemain menjadikan pentas AFF 2017 di Vietnam itu sebagai medan kebangkitan dengan mempamerkan persembahan lebih positif.
Artikel oleh Ahmad Fazli Mohd. Yadi – Kosmo
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4thKUCRH3
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.