Sinar baru Arena Futsal Malaysia
On December 20, 2016 by FixoCerita tentang Kejohanan Piala Raja Iskandar Dzurkarnain 2016 masih lagi menjadi bualan para penggemar futsal tanah air. Kejohanan yang julung kali diadakan memberi peluang kepada bakat-bakat muda berumur bawah 19 tahun mempamerkan aksi di pentas yang setaraf dengan Liga Futsal Kebangsaan.
Pasukan Perak yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Nazim Din menepati ramalan selaku juara bagi kejohanan sulung ini dengan menewaskan pasukan Kelantan dengan keputusan 10-6.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) seolah memberi nafas dan sinar baru bagi penggemar futsal dalam dunia futsal negara kita.
Senyap dengan ketiadaan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) pada tahun ini, FAM muncul dengan jawapan LFK akan diadakan pada tahun hadapan. Maka, hanya Kelayakan LFK bagi tahun 2017 sahaja yang memberi kemeriahan pada penutup tahun 2016.
Kelayakan ini diadakan pada 21 hingga 23 Disember ini yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.
Sebanyak 10 pasukan bagi kategori lelaki dan dua pasukan bagi kategori wanita akan beraksi bagi menempatkan diri ke LFK yang dijangka akan bermula pada Februari tahun hadapan.
Bagi kategori lelaki, mereka akan dibahagikan pada dua kumpulan. Johan dan Naib Johan bagi setiap kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan semi final dan pasukan yang layak ke final automatik berjaya melayakkan pasukan ke LFK. Manakala bagi kategori wanita, pasukan ATM dan Sarawak secara automatik layak ke LFK bagi memenuhi dua slot kosong.
Seperti edisi-edisi kelayakan sebelum ini, terdapat beberapa pasukan baru tampil buat pertama kali untuk memberikan saingan.
Terdapat dua pasukan baru pada tahun ini yang akan memberikan saingan kepada pasukan lain lantas memasang niat untuk berada di pentas LFK buat kali pertamanya. Pasukan tersebut adalah KL Imigresen FC dan Pahang Kuantan Rangers FC.
Dilihat dari sudut positif, pasti akan ada bakat-bakat baru yang mewakili pasukan ini bakal menyinari pusingan kelayakan kali ini. Ini satu langkah baik yang dilakukan oleh mereka bagi melahirkan lagi ramai pemain untuk masa akan datang.
Tidak lupa juga lagi lapan pasukan yang turut berentap bagi mencuri dua slot kekosongan untuk LFK 2017. Masing-masing dari Pulau Pinang, Pulau Pinang MBPP, Sarawak, ATM, KL Petaling Putra, Perlis KSMR Kangar FC, KL City FC dan Sabah Quilmes FC.
Mereka juga harus diberi tumpuan dalam edisi kali ini kerana dengan pengalaman yang sedia ada dan gabungan pemain lama dan baru yang berbakat, sudah tentu berada di pentas LFK impian bagi mereka.
Walaupun bahang untuk edisi kali ini seperti suram, tetapi latihan bagi setiap pasukan samada yang beraksi pada kelayakan mahupun yang sudah layak sudah mula dijalankan.
Diharapkan pasukan yang bermain di pentas kelayakan dan LFK 2017 dapat memberikan aksi menarik untuk peminat futsal tanah air yang sememangnya merindukan kemeriahan LFK.
Warga AFM ingin mengucapkan selamat maju jaya pada pasukan yang beraksi bagi ke pentas LFK 2017.
Pada peminat futsal tanah air, ayuh beri sokongan penuh pada pasukan kegemaran anda di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada 21-23 Disember 2016.
Kredit foto : Perak TBG
Artikel oleh : Wak Mat
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.