Pahang Rangers FC B (PRFC B) merupakan pasukan pembangunan baharu yang ditubuhkan oleh Pahang Rangers FC, salah satu kelab futsal paling berjaya di Malaysia. Penubuhan PRFC B bukan semata-mata untuk menyertai Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) Divisyen 2, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kelab untuk memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan memastikan kesinambungan prestasi cemerlang Pahang Rangers FC.
Objektif Penubuhan PRFC B
Antara objektif utama penubuhan PRFC B adalah:
• Melahirkan dan menggilap bakat-bakat muda tempatan, khususnya dari negeri Pahang.
• Menjadi sumber utama pemain bagi pasukan utama Pahang Rangers FC, sekaligus memastikan kesinambungan prestasi kelab di peringkat tertinggi.
• Membina asas kukuh untuk pemain muda agar bersedia beraksi di peringkat lebih tinggi, sama ada di MPFL Divisyen 1, pasukan kebangsaan mahupun peringkat profesional antarabangsa.
• Memperluaskan kelompok (talent pool) pemain muda negeri Pahang menerusi pembangunan sistematik dan berstruktur.

Komposisi Pasukan dan Fokus Pembangunan
PRFC B kini dibarisi oleh 18 pemain muda dengan purata umur sekitar 21 hingga 22 tahun, yang dipilih berdasarkan potensi serta komitmen mereka dalam latihan dan perlawanan. Tiada penekanan terhadap individu tertentu kerana kekuatan sebenar pasukan ini terletak kepada semangat berpasukan, intensiti latihan serta falsafah permainan yang diterapkan secara konsisten.

Barisan Kejurulatihan Muda dan Berwibawa
Barisan kejurulatihan PRFC B terdiri daripada jurulatih-jurulatih muda yang diberi peluang untuk menimba pengalaman sebenar dalam suasana pertandingan kompetitif. Ini sejajar dengan misi pasukan untuk bukan sahaja melahirkan pemain berkualiti, tetapi juga membentuk jurulatih tempatan yang setanding dengan jurulatih antarabangsa.
Sasaran PRFC B dalam MPFL Divisyen 2
PRFC B akan membuat penampilan sulung dalam MPFL Divisyen 2 musim 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 24 Mei hingga 13 Julai 2025, bersaing dengan 12 pasukan lain termasuk ATM, Canaan FC, Kelantan FT, Kuala Lumpur 1 & 2, Negeri Sembilan United FC, Nilai City SC, PFA Odin Sarawak FC, PJ Champz FC, Penang, Terengganu, dan USMKK FC.
Sasaran rasmi PRFC B adalah untuk menamatkan musim dalam tiga pasukan terbaik. Namun secara keseluruhan, pasukan ini meletakkan harapan tinggi untuk menjuarai Divisyen 2. Walau bagaimanapun, kejayaan sebenar PRFC B tidak hanya diukur melalui kejuaraan atau trofi, tetapi melalui keupayaan mereka melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi, termasuk mewakili negara dan menjadi pemain profesional bertaraf import.

Ekosistem Kekuatan PRFC B
Kelebihan PRFC B tidak hanya terletak pada barisan pemain dan jurulatih, tetapi juga hasil daripada ekosistem menyeluruh Pahang Rangers FC. Ini merangkumi pegawai pasukan, kakitangan teknikal dan bukan teknikal, sukarelawan, marshal, pasukan keselamatan, serta penyokong setia kelab. Tidak ketinggalan, peranan penting dimainkan oleh pihak pengurusan, Presiden kelab dan Lembaga Pengarah (BOD) dalam memastikan hala tuju dan kesinambungan kelab berjalan lancar.
Harapan dan Cabaran
Sebagai pasukan baharu, PRFC B bakal berdepan pelbagai cabaran dari segi penyesuaian tahap persaingan. Namun dengan sokongan penuh dari struktur organisasi PRFC, komitmen tinggi pemain dan kepercayaan kepada sistem pembangunan jangka panjang, PRFC B diyakini mampu menjadi platform penting untuk melahirkan bintang futsal masa depan Malaysia.
Kehadiran PRFC B dalam MPFL Divisyen 2 bukan sahaja memperkukuh struktur pembangunan futsal di negeri Pahang, tetapi turut memberi impak positif kepada pertumbuhan futsal peringkat kebangsaan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda untuk menyerlah di pentas profesional.
Dengan semangat dan dedikasi tinggi, PRFC B bersedia memulakan perjalanan dalam MPFL Divisyen 2 dan membuktikan keupayaan sebagai pasukan pembangunan bertaraf tinggi
Oleh Ridzuan Rosli