Pelajaran Daripada Kemenangan Vietnam Ke Atas Thailand
On November 11, 2024 by Al-Zaim ArzamanPastinya pengendali Vietnam, Diego Giustozzi tersenyum puas ketika mereka berhasil untuk tundukkan Thailand.
Tiada istilah aksi mudah dalam kamus hidupnya waima lawan hanya turun dengan barisan pemain ‘pilihan kedua’.
Biarpun selepas itu, mereka tumbang di pentas final kepada Indonesia – yang membenam cabaran Thailand di separuh akhir, ada pelajaran penting daripada pendekatan yang dilakukan Giustozzi ketika berjaya mengatasi Thailand.
Keberanian mengambil risiko dan tidak mensia-siakan semua peluang tercipta adalah kunci kejayaan Vietnam untuk menumpaskan Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan A, Kejuaraan Futsal AFF 2024. Vietnam bangkit dengan dua gol dalam lima minit terakhir untuk menang 3-2. Ini juga kali pertama mereka menang ke atas lawan tersebut.
Lawan turun dengan kekuatan penyokong di belakang mereka apabila kejohanan ini berlangsung di halaman sendiri.
Dengan Terminal 21 Korat yang boleh memuatkan penonton sehingga 3,500 orang, 70 peratus daripadanya telah pun dipenuhi oleh para penyokong pada perlawanan tersebut. Ia satu sokongan moral terbaik buat skuad Gajah Perang.
Malah, mereka yakin, walaupun turun dengan ‘pilihan kedua’, Vietnam mampu ditumpaskan. Ini kerana, moral pasukan di tahap terbaik dan mereka mahukan gelaran juara kumpulan bagi mengelakkan pertembungan dengan Indonesia.
“Kami ubah gaya permainan dan pasukan memilih untuk ambil risiko dengan lebih mengasak Thailand. Gol yang kami hasilkan berpunca daripada risiko yang kami ambil untuk berterusan menyerang ke gol lawan. Dan apabila peluang itu tiba, kami tidak sesekali lepaskannya,” ujar Giustozzi kepada media selepas sah mengutip 12 mata maksimum.
Inilah keberanian yang ditonjolkan pengendali dan para pemain Vietnam sehingga berjaya meraih kemenangan.
Aspek ini yang mungkin diperlukan skuad negara selepas ini, selain isu ketahanan mental. Manfaatkan setiap peluang dan tidak takut untuk mengambil risiko. Harus diakui, Malaysia sudah mempamerkan sisi permainan yang baik. Apa yang kurang hanyalah dalam aspek-aspek melibatkan mental yang mungkin boleh diasuh dan digarap lagi.
Jadi, apa yang diketengahkan pengendali skuad kebangsaan, Rakphol Sainetngam sebelum ini perlu dipandang serius. Malaysia tidaklah terlalu jauh untuk kembali bersaing rapat di rantau Asean, tetapi semua pihak perlu saling membantu.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.