JDT Sabah MPFL Div 1

Pahang Rangers Mampu Tangguhkan Keraian JDT Di SUKPA?

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengatasi Sabah dalam aksi ke-11, Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 apabila berpesta gol, menang 9-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Nasional Panasonic, Shah Alam, petang kelmarin.

Tiga mata yang bakal membantu mereka memburu kejuaraan sulung dengan perlawanan minggu depan bakal menjadi penentunya.

Dengan kemenangan semalam, JDT hanya selangkah dalam memastikan mereka menuai kejuaraan hasil pelaburan besar mereka.

Mereka bakal berkunjung ke Stadium Tertutup SUKPA bertemu Pahang Rangers dan jika tiga mata diraih, kejuaraan menjadi milik JDT.

Adakah gelanggang keramat Pahang Rangers itu akan menjadi saksi trofi kejuaraan dijulang oleh pencabar terdekat mereka itu?

Ini pasti amat menyakitkan dek kerana Pahang Rangers merupakan juara bertahan dan melihat seteru utama meraih kejuaraan di ‘rumah’ mereka sudah tentu lebih menambah luka terlepas mempertahankan kejuaraan yang mereka raih pada musim lalu – juara berganda.

Untuk aksi ke-11, kedua-duanya mencatatkan kemenangan dan mengharapkan momentum tersebut dibawa untuk pertembungan ini.

Gol-gol JDT ketika mencipta kemenangan ke atas Sabah dicetak oleh Awalluddin Mat Nawi, Abu Haniffa Hasan (2 gol), Saad Sani (2 gol), Ridzwan Bakri (2 gol), Caio Cesar dan Bruno Taffy, sementara gol tuan rumah dijaringkan oleh Wan Raziq dan Hikmal Firdaus.

Adakah SUKPA bakal menjadi lokasi keraian kejuaraan buat JDT, pada minggu hadapan? Sama-sama kita nantikan sama ada Pahang Rangers akan mampu untuk menangguhkan sebentar keraian kejuaraan JDT pada 27 Julai depan, jam 8.30 malam.

Start a Conversation