Melaka United Lebih Bersemangat Dengan Kehadiran Ayon
On June 11, 2018 by WanShaKetua jurulatih Melaka United, Isa Rahim telah mengesahkan kehadiran Khairul Effendy @ Ayon bersama pasukan. Ayon merupakan pemain tunggal yang dibawa masuk dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan LFK dan juga saingan Kejohanan Kelab Futsal AFF yang akan berlangsung bulan depan.
Setakat ini, Melaka United berada di landasan tepat untuk muncul juara LFK buat kali kedua berturut-turut apabila berada di puncak liga dengan 24 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 8 perlawanan.
Namun menurut coach Isa beliau tidak mahu pemain cepat berpuas hati dengan prestasi semasa dan mahu mereka fokus untuk menghabiskan musim ini dengan kejayaan.
Sepanjang bulan Ramadhan ini, mereka tetap meneruskan sesi latihan seperti biasa 3 kali seminggu.
“Kami memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan fizikal agar pemain tampil dengan lebih agresif untuk misi yang akan datang”, kongsinya.
Melaka United akan menanti cabaran Pahang dan Felda United di saingan LFK awal Julai nanti sebelum ke Indonesia pada 15 hingga 21 Julai bagi membawa cabaran negara di Kejohanan Kelab Futsal AFF 2018.
“Untuk kejohanan AFF ini, saya berharap pemain akan tampil lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk cabaran kali ini. Sasaran kami ialah ke final!”, katanya dengan penuh yakin.
Dengan kepulangan Ayon juga harap dia dapat membantu pasukan selepas dia mempunyai pengalaman beraksi di Indonesia bersama SKN Kebumen FC yang juga bakal menjadi lawan mereka selepas diundi dalam kumpulan yang sama.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.