Mana Hilangnya Liga Futsal Kebangsaan ?
On April 29, 2016 by Wak GoleiroPeminat futsal tanah air pastinya tertanya-tanya bila liga utama futsal negara, Liga Futsal Kebangsaan ( LFK ) tahun ini akan diadakan. Persoalan tersebut pastinya bermain di minda mereka apabila tiada sebarang cerita mahupun ura-ura liga futsal elit negara itu akan berlangsung.
Setelah mengharungi suasana liga yang penuh dramatik dan persaingan yang menarik dalam aksi liga tempatan musim lalu, para pemain serta peminat pastinya mengharapkan penganjuran dapat diteruskan musim ini bagi menambah rencah dalam kancah futsal negara.
Bayangkan sekiranya LFK tidak diadakan pada tahun ini, medium pertandingan manakah para jurulatih skuad negara untuk memilih pemain bagi membarisi skuad negara di Kejuaraan Futsal AFF 2016 yang berlangsung 31 Oktober hingga 6 November di Bangkok serta beberapa kejohanan yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Adakah barisan kejurulatihan hanya perlu mengambil pemain yang menyinar di ”liga haram” sahaja? Bukan mahu menidakkan keupayaan pemain-pemain di tersebut namun satu liga yang sistematik perlu dalam mencari pemain yang mampu membawa cabaran negara di peringkat yang lebih tinggi.
Pemain yang menggalas tanggungjawab skuad negara perlulah mempunyai aksi kompetitif seperti beraksi di LFK. Sesungguhnya perkara ini tidak harus dipandang enteng oleh pihak berwajib kerana masa depan futsal negara adalah terletak di tangan kalian.
Andai melihat kepada pasukan-pasukan Asia yang lain, mereka terus memacu pasukan futsal mereka secara agresif untuk ke tahap yang lebih tinggi sebagai contoh Vietnam yang melakukan kejutan terbesar layak ke Piala Dunia 2016.
Tidak perlu juga memandang jauh sebaliknya hanya menjenguk ke negara jiran iaitu Indonesia yang berjaya menghidupkan suasana futsal yang terbaik dengan kerjasama media yang sangat utuh sehinggakan terdapat siaran langsung di kaca televisyen dan sebagainya.
Semua ini tidak dapat dilihat dalam saingan liga utama di negara kita apabila publisiti terhadap sukan ini terlalu dingin. Penonton yang hadir juga adalah hanya dalam kalangan keluarga mahupun rakan pemain yang beraksi. Publisiti yang kurang juga menyebabkan masalah kekurangan penaja dihadapi oleh penganjur dan juga pasukan yang beraksi.
Akhir kata, apa jua keadaan Liga Futsal Kebangsaan perlu dikembalikan dan dianjurkan seperti musim lalu bagi terus melahirkan bakat baru serta meningkatkan mutu futsal yang kian berkembang di negara ini sejak kebelakangan ini.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.