
Malaysia Selangkah Ke Separuh Akhir
On October 12, 2015 by Wak FaizalSkuad negara melupakan kekecewaan semalam apabila menumbangkan Timor Leste pada perlawanan petang tadi. Kemenangan 7-2 tersebut semakin mendekatkan skuad negara dengan saingan separuh akhir.
Aksi pada babak pertama para pemain negara mempamer aksi meyakinkan apabila melakukan serangan bertubi-tubi kearah gawang Timor Leste yang dikawal oleh Stelyo Araujo.
Keyakinan yang tinggi jelas terpancar pada aksi babak pertama apabila Akmarulnizam Mohd Idris yang tidak dikawal berjaya menyudahkan hantaran dari Muhamad Fitri Yatim bagi menghadirkan gol pendahuluan buat skuad negara.
Selepas jaringan tersebut skuad negara terus menggandakan asakan namun Stelyo Araujo seringkali menjadi penghalang bagi menambah jaringan sebelum Fitri menghasilkan gol kedua dengan menolak masuk bola hasil lorongan Akmarulnizam. Ternyata Akmarulnizam dan Fitri mempamerkan persefahaman yang baik setelah gandingan mereka berdua terlibat dengan dua gol awal yang dihasilkan.
Tidak cukup dengan jaringan tersebut Saiful Aula menambah jaringan ke-3 hasil sepakan dari Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin yang singgah di kaki Saiful Aula yang melakukan rembatan terkena salah seorang pemain Timor Leste seterusnya menewaskan penjaga gol mereka. Timor Leste berjaya memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti 10 meter apabila pemain negara melakukan kesalahan yang ke -6 dan perlawanan babak pertama berakhir dengan 3 gol berbalas 1.
Babak kedua terus didominasi oleh skuad negara apabila merencanakan pelbagai taktik serangan bagi terus merobohkan semangat Timor Leste namun lawan kental bertahan sebelum Fitri sekali lagi menggegar gawang apabila berpunca daripada kesilapan pemain lawan yang lambat untuk melakukan hantaran dan Fitri sempat menghalang dan menguis masuk bagi mengelirukan Stelyo Araujo untuk jaringan ke-4 skuad negara.
Tidak sampai seminit, Timor Leste merapatkan jurang sebelum Saiful Nizam Mohamad Ali, Saiful Aula Ahmad dan Ahmad Fawzul Hadzir mematikan sisa perjuangan lawan untuk keputusan berakhir dengan 7-2. Satu kemenangan yang amat ditagih ketika peluang untuk layak ke separuh akhir semakin terbuka luas buat skuad negara.
Penjaring 2 gol perlawanan ini, Muhamad Fitri Yatim yang dihubungi nyata berpuas hati dengan kemenangan menentang Timor Leste tadi. ” Syukur Alhamdulillah dengan 3 mata yang dicapai hari ini dan selangkah lagi untuk kami layak ke separuh akhir”, ujar beliau.
“Kami masih mencari rentak sebenar dan harapkan kami semua dapat tampilkan aksi sebenar untuk baki-baki perlawanan nanti. Perlawanan menentang Timor Leste tadi kami mendominasi perlawanan tetapi lawan tetap memberikan tentangan sengit namun kami berjaya mengekang asakan sekaligus menewaskan mereka,” tambah Fitri lagi.
Bercakap mengenai peluang skuad negara bertemu Singapura esok, beliau mengharapkan kemenangan dapat dijelmakan bagi menepati ramalan ke separuh akhir.
Artikel Oleh : Wak Meor
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.