Lagenda Johor, Kelab Singapura Bersatu Di Liga Brunei

Sebuah pasukan yang berasal dari Singapura, Kampung Buangkok bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai pasukan pertama Singapura yang beraksi di liga luar negara apabila akan tampil di Liga Futsal Brunei 2024/25 yang dijangka bakal bermula pada Ogos depan.

Antara pasukan dari Malaysia yang pernah beraksi di sana adalah Pahang Rangers – ketika dikenali sebagai Kuantan Rangers pada 2017.

Bukan hanya bermain, mereka turut meraih kejuaraan dalam musim pertama, malah menjadi kelab asing pertama yang muncul juara.

Kampung Buangkok bukanlah sebuah kelab profesional. Mereka menggunakan dana sendiri untuk menyertai liga tersebut, disamping giat mencari penajaan. Ini disebabkan kecintaan mereka terhadap sukan futsal dan ketiadaan liga profesional untuk futsal di Singapura.

Menariknya, pemain-pemain yang membarisi pasukan ini hadir daripada pelbagai latar belakang antaranya jurutera, pegawai bomba, pemandu grab dan sebagainya. Sebelum ini, mereka hanya kerap bermain bersama-sama di kejohanan amatur di tanah air mereka.

Tambah menarik, barisan jurulatih mereka pula diimport dari Johor diketuai lagenda futsal Johor yang juga bekas pembantu jurulatih JDT, Jojo atau nama sebenarnya, Ahmad Hanif Sarmin. Selainnya, turut terlibat adalah Hamiddon Dali, Amirul Hakim dan Fadzly Abdul Rahim

Satu langkah besar buat mereka selepas hasrat mereka mendapat restu daripada Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) dan Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD). Melibatkan 10 pasukan, sepak mula Liga Futsal Brunei dijangka pada Ogos sehingga Februari 2025.

Mungkin penyertaan ini akan membuka mata FAS untuk mewujudkan satu liga profesional di Singapura dan ia boleh menjadi inspirasi kepada kelab-kelab yang berada di sana untuk terus berkembang selain berani untuk tampil mewakili negara ke kejohanan luar negara.