
Kehilangan Yang Bakal Dirindui?
On January 23, 2025 by Al-Zaim ArzamanMenerusi pengumuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pasukan yang boleh dianggap kompetitif, Shah Alam City dan pasukan yang memiliki bakat muda yang baik, Terengganu akhirnya sah tidak akan menyertai Malaysia Premier Futsal League (MPFL) untuk musim 2025. Adakah ia kehilangan yang bakal dirindui oleh pengikut futsal tanah air?
FAM mengesahkan lapan pasukan akan menyertai Divisyen 1 pada musim depan dengan penyertaan naib juara Divisyen 2, Kedah dan pasukan di tangga ke-4, Malaysian University FT (MUFT), selain ketiadaan Shah Alam City dan Terengganu.
Lapan pasukan tersebut adalah juara berganda musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers, Sabah, TOT United, KL City, Kedah dan MUFT. Kehadiran Kedah dan MUFT sedikit sebanyak memberi suntikan segar kepada liga.
Shah Alam City menamatkan musim lalu di kedudukan ke-4 dengan 21 mata, tujuh mata di belakang Pahang Rangers. Mereka juga memiliki pivot yang amat produktif, muncul penjaring kedua terbanyak liga dengan 23 gol, Isaias Figueiredo.
Sementara itu, Terengganu pula melalui musim yang buruk yang pasti mahu dilupakan. Mereka yang seringkali memberi saingan yang baik selama beberapa musim sebelumnya, terperosok hingga ke zon dasar liga, 13 mata di tangga ke-7.
Ketiadaan kedua-dua pasukan mungkin bakal dirindui, namun kehadiran Kedah dan MUFT sedikit sebanyak memberikan sesuatu yang segar dalam saingan tertinggi futsal negara terutamanya Kedah yang tampak sangat bersedia musim ini.
Menurut pengumuman itu lagi, Divisyen 1 dijangka akan bermula pada 8 Mac dan akan berakhir pada 13 Julai 2025.
Tiada perubahan syarat berbanding musim lalu dengan pasukan dibenarkan mendaftarkan dua pemain import, selain wajib menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga pemain bawah 19 tahun (lahir pada atau selepas 1 Januari 2006).
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.